76 ekor kucing peliharaan mati dalam kebakaran

76 ekor kucing peliharaan mati dalam kebakaran

YUSNITA Muhamed Yusoff (tengah) menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran Norhaeda Azahari di Jalan Tok Guru Kota Bharu, Kelantan, semalam. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kesedihan masih menyelubungi seorang wanita apabila lebih 70 ekor kucing peliharaannya mati selepas rumahnya terbakar di Jalan Tok Guru di sini, Sabtu lalu.

Norhaeda Azahari, 54, berkata, insiden itu telah menjejaskan emosinya sehingga membawa hilang selera makan.

“Sejak kejadian itu, perasaan sedih masih belum hilang. Daripada 80 ekor kucing yang saya pelihara, 76 ekor mati terbakar kerana berada di tingkat bawah rumah ketika kejadian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tiga ekor yang terselamat kini ditumpangkan di rumah rakan manakala seekor kucing betina yang sedang bunting masih menerima rawatan di klinik haiwan akibat luka dan sesak nafas kerana terhidu asap,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Terdahulu, Norheada menerima kunjungan dari Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) Kelantan Yusnita Muhamed Yusoff yang menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM500 bagi membantu meringkan beban.

Kejadian pukul 5.30 petang itu, turut meragut nyawa seorang warga emas Fatimah Mat Said, 89, atau dipanggil Kak Moh yang rentung dalam kebakaran tersebut.

Norhaeda memberitahu, ketika kejadian dia tiada di rumah sebelum dimaklumkan oleh ahli keluarga mengenai kebakaran tersebut.

Katanya, hampir 30 tahun dia mengambil dan memelihara kucing-kucing terbiar dengan perbelanjaan bulanan kira-kira RM2,000 bagi makanan serta kos rawatan.

“Kebanyakan kucing ini saya ambil dari kedai makan, kawasan hospital dan sekitar Kota Bharu untuk dibawa pulang ke rumah pusaka ini.

“Akibat kebakaran, saya kini menumpang di rumah adik lelaki di Guchil Bayam,” ujarnya.

Sementara itu, Yusnita memberitahu, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan Yayasan Taqwa di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi mengemukakan cadangan berkaitan pembinaan semula rumah mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini