Autonomi Kurdi tamat, soal kesatuan Syria bermula

Autonomi Kurdi tamat, soal kesatuan Syria bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKEMBANGAN terbaharu di Syria, khususnya penamatan pemerintahan autonomi Kurdi di utara dan timur negara itu pada Januari lalu menandakan fasa penting dalam proses pasca perang Syria. 

Selepas melalui lebih sedekad konflik yang memusnahkan negara, Damsyik kini berada pada posisi baik bagi mengukuhkan semula kedaulatan wilayahnya untuk penyatuan, melalui kaedah rundingan dan tindakan ketenteraan. 

Namun di sebalik usaha ini, muncul persoalan besar iaitu bagaimana sebuah negara yang baru keluar daripada perang saudara dapat membina kembali kesatuan nasional tanpa menafikan hak komuniti minoriti?

Kita perlu melihatnya daripada dua sudut secara serentak, iaitu perspektif Syria sebagai sebuah negara berdaulat dan perspektif masyarakat Kurdi sebagai komuniti minoriti. 

Etnik Kurdi membentuk kira-kira 10 peratus populasi Syria dan tertumpu di kawasan sempadan Turkiye dan Iraq. Sejak pembentukan negara Syria moden, identiti negara, secara umumnya di Timur Tengah, dibina berasaskan nasionalisme Arab.

Akibatnya, hak budaya dan politik etnik Kurdi sering diketepikan. Ada yang dinafikan hak kewarganegaraan, bahasa Kurdi disekat dan aktivisme politik pula ditindas atau dihalang. 

Namun  penting untuk ditegaskan majoriti etnik Kurdi di Syria tidak cenderung untuk menuntut pemisahan negara. Mereka secara lazimnya membuat tuntutan terhad yang menjurus kepada pengiktirafan budaya, kewarganegaraan dan tadbir urus tempatan yang baik.

Perang saudara 2011 mengubah landskap ini. Apabila kerajaan Syria mengundurkan tenteranya dari kawasan timur laut, Parti Kesatuan Demokratik (PYD) muncul sebagai aktor politik utama Kurdi dan membentuk struktur pentadbiran dikenali sebagai Rojava. 

Sayap tenteranya, Unit Perlindungan Rakyat (YPG), yang kemudian menjadi tulang belakang Pasukan Demokratik Syria (SDF), menerima sokongan Amerika Syarikat (AS) dalam memerangi ISIS. Dalam tempoh ini, autonomi Kurdi berkembang pesat, lengkap dengan sistem keselamatan, pendidikan dan pentadbiran sendiri.

Namun sejak dari awal, autonomi ini bergantung perlindungan kuasa luar dan keseimbangan perang. Pada perspektif Damsyik, ia mencerminkan perpecahan dan kelemahan sebagai sebuah negara kedaulatan. 

Sementara dari perspektif Turkiye pula, YPG dilihat berkait rapat dengan PKK. Maka walaupun keadaan kelihatan stabil di permukaan, namun realiti sebenar ini tidak pernah benar-benar baik.

Menjelang akhir 2025, ketegangan meningkat apabila kerajaan pusat baharu di Damsyik di bawah Ahmed al-Sharaa mula mengukuhkan semula kuasa pusat. 

Pada Januari 2026, tentera Syria, dengan sokongan rangkaian puak Arab tempatan, berjaya menawan semula bandar strategik Raqqa dan Deir Az Zor, dua kawasan kaya dengan sumber yang sebelum ini berada di bawah kawalan SDF. 

Kehilangan  wilayah ini melumpuhkan pengaruh politik dan ketenteraan SDF, sekali gus mengukuhkan kedudukan al-Sharaa di peringkat domestik, khususnya dalam kalangan masyarakat Sunni Arab.

 

PERJANJIAN

Hasil tekanan ketenteraan ini, satu perjanjian gencatan senjata dicapai. PYD/YPG pada asasnya bersetuju mengintegrasikan pejuang mereka ke dalam angkatan tentera Syria, manakala SDF secara berkesan dibubarkan atau diletakkan di bawah Kementerian Pertahanan. 

Majlis Kebangsaan Kurdi (KNC/ENKS) pula kini berunding untuk mendapatkan perwakilan politik dalam kerajaan baharu. 

Ramai penganalisis menyimpulkan pertengahan Januari, ‘impian pemisahan’ Kurdi di Syria secara praktikal berakhir.

Selari dengan pendekatan ‘ganjaran dan hukuman’ ini, al-Sharaa mengeluarkan dekri mengiktiraf bahasa Kurdi sebagai bahasa nasional, memulihkan hak kewarganegaraan etnik Kurdi, mengisytiharkan perayaan Newroz sebagai cuti nasional, serta melarang diskriminasi etnik. 

Wakil Majlis Demokratik Syria (MSD), Bassam Said Ishaq, mengesahkan  terdapat niat serius di kedua-dua pihak, Damsyik dan SDF, untuk melaksanakan perjanjian 10 Mac, yang didorong oleh tekanan rakyat Syria sendiri yang mahukan kestabilan dan keamanan.

Tekanan antarabangsa turut memainkan peranan penting. Penghujung 2025, Kongres AS mula memansuhkan Akta Caesar, iaitu rejim sekatan ekonomi yang dilaksanakan sejak 2019 mensasarkan pelaburan, perbankan dan usaha pembinaan semula Syria.

 Inisiatif pemansuhan ini, digabung pula dengan mekanisme ‘snap-back’ jika syarat keselamatan dan hak asasi tidak dipatuhi, menandakan perubahan pendekatan Washington daripada strategi hukuman kepada strategi pemulihan bersyarat. 

Dalam konteks ini, kestabilan Syria kini menjadi tuntutan global, bukan sekadar kehendak dalaman rakyat Syria semata-mata.

Dari sudut pandang negara Syria dan negara Islam, langkah ini dilihat sebagai usaha memulihkan kesatuan nasional selepas trauma perang. Pengalaman Iraq, Libya dan Yemen menunjukkan fragmentasi wilayah sering membuka ruang kepada campur tangan asing dan ketidakstabilan berpanjangan.

Dalam tradisi politik Islam pula, usaha penyatuan ummah bagi memastikan keadilan sosial dan mencegah fitnah merupakan prinsip asas yang menjadi keutamaan sesebuah kerajaan.

Namun bagi masyarakat Kurdi, kehilangan autonomi wilayah tetap dilihat sebagai kemunduran besar. Institusi yang dibina bertahun-tahun kini dibubarkan.

Realiti di lapangan juga kekal rapuh. Di kejiranan Kurdi seperti Sheikh Maqsoud dan Ashrafiyeh di Aleppo, laporan mengenai sekatan keselamatan, gangguan bekalan makanan, korban awam dan pemindahan penduduk menggambarkan betapa mudah proses peralihan politik ini boleh menjadi krisis kemanusiaan jika tidak diurus secara berhikmah.

Persoalan sebenar bukan sekadar sama ada Syria berjaya menamatkan autonomi Kurdi atau sejauh manakah Kurdi mampu bertahan tetapi sama ada kerajaan Syria mampu menukar usaha penyatuan berasaskan tindakan ketenteraan  kepada integrasi politik yang tulen. 

Jika hak budaya, penyertaan politik dan pembangunan wilayah benar-benar dilaksanakan, proses ini boleh menjadi asas perdamaian jangka panjang. Jika berlaku sebaliknya, benih ketidakpuasan baharu akan tumbuh semula.

Kesimpulannya, kestabilan negara itu tidak akan ditentukan oleh siapa menguasai wilayah yang mana tetapi ditentukan oleh sejauh mana semua komuniti, Arab, Kurdi dan lain-lain, merasakan mereka benar-benar memiliki masa hadapan bersama dalam satu negara yang bernama Syria.-UTUSAN

 

PROFESOR  MADYA DR. BAKRI MAT ialah Felo Penyelidik, Institut Asia bagi Hal Ehwal dan Diplomasi Antarabangsa (AIIAD), Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (UUM-COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×