RPTM 2026–2035 memperkasa integrasi ilmu

RPTM 2026–2035 memperkasa integrasi ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELANCARAN Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melalui Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 baru-baru ini merupakan satu lonjakan strategik yang signifikan dalam landskap pendidikan tinggi negara. 

Pelan jangka panjang ini mencerminkan iltizam kepimpinan negara untuk membina sistem pendidikan tinggi yang lebih berdaya tahan, inklusif dan berpandangan jauh dalam mendepani realiti dunia yang semakin kompleks dan bersifat disruptif.

Hala tuju strategik RPTM yang dirangka untuk tempoh 10 tahun ini bukan sekadar bertujuan menyesuaikan institusi pengajian tinggi (IPT) dengan  transformasi digital, malah memastikan penyampaian pendidikan terus diperkukuh serta daya saing universiti awam dan swasta kekal relevan dalamekosistem global yang sentiasa berubah.

Jika sebelum ini polemik media berkaitan kedudukan dan penarafan universiti sering mendominasi wacana pendidikan tinggi, RPTM 2026–2035 mengembalikan fokus kepada asas dan roh sebenar pendidikan tinggi. 

Ia bukan bermakna Malaysia mengabaikan keperluan bersaing di peringkat antarabangsa, sebaliknya RPTM terlebih dahulu menangani fungsi teras universiti dengan membuka akses seluas-luasnya kepada pendidikan, mengurangkan halangan struktural serta memastikan peluang menuntut ilmu tidak terhad kepada kelompok tertentu sahaja.

Pembentukan generasi yang seimbang dari segi sahsiah, nilai kemanusiaan dan keupayaan intelektual bagi menghadapi cabaran dunia yang kian rencam merupakan antara teras utama RPTM. 

Dalam konteks ini, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyokong sepenuhnya pelan strategik iniselaras dengan jati diri universiti yang mengangkat integrasi ilmu naqli dan aqli sebagai asas pembangunan insan.

 

INTEGRASI ILMU DI USIM

Model pendidikan USIM berteraskan prinsip integrasi Sains Islam dengan Sains Sosial dan Sains Fizikal. Pendekatan inibukan sahaja membolehkan pelajar memahami cabaran global secara menyeluruh, malah menawarkan kerangka baharu dalam mendekati dan menyelesaikan permasalahan sejagat. 

Nilai-nilai universal yang terkandung dalam ajaran Islam telah terbukti sepanjang sejarah sebagai nilai yang bersifat sejagat, mampu dikongsi dan difahami oleh seluruh umat manusia dalam membina kehidupan yang harmoni, saling menghormati dan bertoleransi.

Pendekatan ini juga merupakan usaha berterusan untuk mengembalikan tradisi keilmuan saintifik dan teknologi yang pernah diterajui oleh sarjana Muslim terdahulu, serta memacunya ke hadapan dalam konteks dunia moden. 

Hasilnya, graduan USIM dibentuk bukan sahaja sebagai profesional dalam bidang masing-masing, malah sebagai individu berjiwa ihsan yang bersedia menyumbang dan membawa perubahan positif kepada masyarakat mahupun dunia sejagat.

 

 

RANCANGAN Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 membentuk graduan cemerlang dan berjiwa ihsan, sedia menyumbang positif kepada masyarakat dan dunia.

LAPAN INISIATIF RPTM 2026–2035

Lapan inisiatif utama yang digariskan dalam RPTM 2026–2035 memperlihatkan komitmen jelas kerajaan dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara secara menyeluruh, inklusif dan berdaya saing. 

Antara inisiatif berimpak tinggi ialah inisiatif pendidikan percuma  kepada kira-kira 3,000 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), politeknik dan kolej komuniti.

Sebagai sebuah universiti yang memberi penekanan khusus kepada pendidikan OKU berteraskan pendekatan Islam, USIM melihat dasar ini sebagai manifestasi prinsip keadilan sosial, kesaksamaan peluang dan nilai ihsan, selari dengan aspirasi ‘tiada yang terpinggir’ dalam pembangunan negara. 

USIM amat komited dalam memperjuangkan agenda pemerkasaan OKU melalui penubuhan Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) sebagai platform penyelidikan dan perkhidmatan kepada komuniti berkeperluan khas, dengan menekankan pendidikan berasaskan pendekatan spiritual serta integrasi naqli dan aqli.

Selain itu, peningkatan signifikan kuota penerima pendidikan percuma atau bantuan biasiswa melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar daripada keluarga miskin tegar merupakan langkah proaktif dalam meruntuhkan kitaran kemiskinan melalui pendidikan. 

Inisiatif ini membuka ruang yang lebih luas kepada pelajar berpotensi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa dibelenggu kekangan kewangan.

Komitmen memastikan tiada yang tercicir turut dizahirkan melalui inisiatif penyediaan penginapan pelajar yang selesa dan berdaya huni.

Kerajaan komited menyediakan sebanyak 5,000 unit penginapan tambahan di IPTA melalui kerjasama strategik bersama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC). 

Jaminan kadar yuran penginapan tidak membebankan mahasiswa merupakan kelegaan besarbukan sahaja kepada pelajar, malah kepada ibu bapa dan penjaga. Hakikatnya, persekitaran kediaman yang kondusif memainkan peranan penting dalam menyokong kesejahteraan mental, emosi dan fizikal mahasiswa.

Penambahan 3,000 tempat pengajian IPTA mulai tahun ini  termasuk dalam bidang strategik seperti Undang-undang, perakaunan, kewangan, kecerdasan buatan (AI), sains data, komunikasi dan pengajian media, turut mencerminkan keseimbangan antara bidang sains tulen dan sains sosial.

Ini sekali gus menzahirkan komitmen negara dalam melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut teknikal, malah matang dari segi pemikiran sosial dan kemasyarakatan.

 Secara keseluruhan, RPTM 2026–2035 membuktikan IPT bukanlah menara gading yang sukar dicapai, sebaliknya sebuah ruang terbuka untuk semua lapisan masyarakat. 

Melalui integrasi ilmu, nilai dan kemanusiaan, pendidikan tinggi berperanan melahirkan insan seimbang yang berupaya menyumbang kepada perubahan global secara bermakna dan berterusan.-UTUSAN

 

PROFESOR Datuk Dr. Sharifudin Md Shaarani ialah Naib Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×