SEATTLE: Gergasi e-dagang Amazon memberhentikan 16,000 pekerja menerusi gelombang kedua langkah pengurangan kakitangan dalam tempoh tiga bulan, ketika syarikat itu sedang melaksanakan penyusunan semula dan beralih kepada teknologi kecerdasan buatan (AI).
Langkah pengurangan yang diumumkan pada Rabu itu menyusuli pemberhentian 14,000 pekerja yang dilaksanakan syarikat berpangkalan di Seattle, Washington itu pada Oktober lalu.
Menurut agensi berita Reuters yang memetik laporan awal, pengurangan pekerja kali ini dijangka menjejaskan kakitangan di bahagian Prime Video, Amazon Web Services (AWS) dan jabatan sumber manusia.
Amazon mengesahkan kepada Al Jazeera semua langkah pengurangan tersebut hanya akan melibatkan pekerja di peringkat korporat.
Dalam satu memo kepada kakitangan yang dikongsi dengan Al Jazeera, Amazon memaklumkan pekerja di Amerika Syarikat (AS) yang terjejas akan diberikan tempoh 90 hari untuk mencari peranan baharu di dalam syarikat berkenaan.
“Bagi rakan sepasukan yang tidak berjaya menemui peranan baharu di Amazon atau memilih untuk tidak mencarinya, kami akan menyediakan sokongan peralihan termasuk bayaran pampasan, perkhidmatan penempatan semula, faedah insurans kesihatan dan lain-lain,” kata Naib Presiden Kanan Pengalaman Pengguna dan Teknologi Amazon, Beth Galetti dalam nota tersebut.
Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah usaha penyusunan semula syarikat yang lebih meluas. Awal minggu ini, Amazon mengumumkan penutupan kedai fizikal Amazon Go dan Amazon Fresh yang melibatkan lebih 70 lokasi di seluruh AS.
Beberapa stor fizikal berkenaan akan ditukarkan kepada cawangan Whole Foods Market. Amazon mengambil alih rangkaian runcit yang berpangkalan di Austin, Texas itu pada 2017, dan ia berkembang sebanyak 40 peratus sejak itu.
Langkah pengurangan ini dilaksanakan seiring dengan peningkatan pelaburan dalam bidang AI. Pada Jun lalu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Andy Jassy memuji pelaburan dalam AI generatif dan membayangkan kemungkinan berlakunya pengurangan kakitangan.
“Kami menjangkakan langkah ini akan mengurangkan jumlah tenaga kerja korporat kami seiring dengan peningkatan kecekapan hasil penggunaan AI secara meluas di seluruh syarikat,” kata Jassy dalam satu hantaran blog.
Menurut penjejak AFL-CIO CEO PayWatch, pendapatan Jassy dilaporkan adalah 43 kali ganda lebih tinggi berbanding median gaji pekerja di syarikat berkenaan.










