Pengurus operasi restoran terkenal didenda RM80,000

Pengurus operasi restoran terkenal didenda RM80,000 lindungi PATI

MUHAMMAD Akmal Azizan (kanan) semasa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen  di sini hari ini mengenakan denda RM80,000 ke atas seorang pengurus operasi di sebuah restoran terkenal di daerah ini selepas mengaku bersalah membenarkan 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) berada dan bekerja di premis perniagaan berkenaan tanpa pas atau permit sah.

Muhammad Akmal Azizan, 40, dijatuhkan hukuman itu sejurus selepas membuat pengakuan bersalah setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai individu yang mempunyai kuasa dan kawalan ke atas premis Ns Shabuyaki Kuala Terengganu Sdn. Bhd. di Mayang Mall, di sini, didakwa membenarkan 16 imigran haram berusia antara 21 tahun hingga 46 tahun berada di premis berkenaan tanpa memiliki pas atau permit sah.

Kesalahan itu dilakukan pada 4 Januari lalu kira-kira pukul 4.10 petang ketika Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Terengganu menjalankan operasi pemeriksaan di restoran itu.

Hasil siasatan mendapati tertuduh yang merupakan warganegara Malaysia, membenarkan 16 imigran haram yang tidak mempunyai pas sah masuk atau tinggal di premis yang mana tertuduh mempunyai kuasa ke atas premis tersebut.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) akta sama yang memperuntukkan denda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap PATI, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda RM80,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang pemilik kilang bata turut didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah membenarkan seorang imigran haram tinggal di premis miliknya.

Hakim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Khaidir Khana Hamzah, 48, selepas pengakuan bersalah direkodkan.

Mengikut pertuduhan, pada 16 November 2025 kira-kira pukul 4.40 petang di sebuah kilang bata milik Hamzah IBIR Sdn Bhd di Hulu Terengganu, tertuduh sebagai orang yang mempunyai kuasa dan kawalan ke atas premis berkenaan didapati membenarkan seorang imigran haram masuk dan tinggal di dalam premis tersebut.

Dengan yang demikian tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E(2) Akta yang sama.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM5,000 atau sebulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Kedua-dua pendakwaan dikendalikan oleh Unit Pendakwaan Jabatan Imigresen Negeri Terengganu manakala bagi kes melibatkan Ns Shabuyaki Kuala Terengganu Sdn Bhd, tertuduh diwakili peguam, KC Lim Kwang Ching manakala Kilang Bata Hamzah IBIR Sdn Bhd tidak diwakili peguam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×