PERNAH terfikir kenapa lelaki lebih cepat kehilangan rambut berbanding wanita? Rambut bukan sekadar penutup kepala, ia juga mahkota yang mencerminkan identiti, keyakinan dan gaya hidup seseorang.
Fenomena kebotakan lebih ketara dalam kalangan lelaki, manakala wanita biasanya hanya mengalami penipisan rambut secara perlahan.
Hal ini menimbulkan persoalan, adakah lelaki lebih mudah botak kerana faktor genetik, hormon, atau gaya hidup mereka?
Pakar estetik, Dr. Rasool Shaik Mohamed, kebotakan lelaki berlaku kerana folikel rambut mereka lebih sensitif terhadap hormon Dihydrotestosterone atau DHT.

Katanya, folikel rambut lelaki mudah mengecil apabila terdedah kepada hormon ini, menyebabkan rambut menipis dan akhirnya gugur sepenuhnya.
“Wanita jarang mengalami botak licin kerana folikel mereka masih aktif walaupun rambut gugur.
“Hormon estrogen bertindak sebagai pelindung folikel rambut, menghalang pengecilan folikel yang terlalu cepat. Oleh itu, walaupun rambut wanita gugur, ia lebih kepada penipisan yang menyeluruh, bukan botak tompok seperti lelaki,” katanya kepada Utusan Malaysia.
BAGAIMANA BOTAK BERLAKU?
Proses kebotakan lelaki bermula apabila testosteron diubah menjadi DHT oleh enzim 5-alpha reductase.
Hormon ini kemudian melekat pada folikel rambut, mempercepatkan kitaran hidup rambut.
Rambut menjadi lebih halus, pendek, dan akhirnya folikel berhenti berfungsi.
Dr Rasool berkata, faktor genetik juga memainkan peranan penting. Lelaki yang mempunyai sejarah botak dalam keluarga seperti bapa, datuk atau bapa saudara berisiko lebih tinggi.
“Wanita turut dipengaruhi genetik, tetapi kesannya lebih ringan dan jarang menyebabkan botak sepenuhnya.
“Kebotakan lelaki biasanya bermula dengan penipisan di bahagian belakang atas kepala dan garis rambut depan. Perubahan ini boleh menjadi lebih jelas apabila mereka mencecah usia 30an dan dalam sesetengah kes, garis rambut mundur bermula sejak awal 20an,” katanya.
Beliau menjelaskan, bagi wanita, penipisan rambut biasanya berlaku di bahagian tengah kepala.
Garis rambut depan tetap utuh, jadi walaupun rambut menipis, wanita jarang kelihatan botak. Proses ini berlaku perlahan dan kadangkala tidak begitu ketara pada peringkat awal.
JENIS KEBOTAKAN
Dr. Rasool membahagikan kebotakan kepada beberapa jenis utama. Androgenetic Alopecia adalah kebotakan genetik progresif yang berlaku pada lelaki dan wanita.
Telogen Effluvium pula ialah rambut gugur sementara akibat stres, demam, bersalin, atau diet tidak seimbang.
Terdapat juga Alopecia Areata, iaitu tompok botak akibat autoimun. Traction Alopecia berlaku kerana gaya rambut ketat yang memberi tekanan berterusan pada folikel.
Scarring Alopecia disebabkan keradangan kulit yang merosakkan folikel, mengakibatkan kebotakan kekal.
“Mengenal pasti jenis kebotakan membantu memahami punca sebenar rambut gugur. Ini juga menjelaskan perbezaan corak kebotakan antara lelaki dan wanita. Lelaki biasanya mengalami tompok-tompok nipis yang jelas kelihatan, manakala wanita menipis secara lebih sekata.
“Corak kebotakan lelaki diukur menggunakan Skala Norwood-Hamilton. Ia bermula dengan garis rambut mundur, bahagian atas menipis dan akhirnya botak di crown serta frontal.
Wanita pula dinilai menggunakan Skala Ludwig atau Sinclair, fokus pada penipisan di bahagian tengah kepala,” katanya.
Gaya hidup dan tekanan juga boleh mempercepatkan keguguran rambut, tetapi hormon dan genetik tetap menjadi faktor utama.
Lelaki yang mengalami stres tinggi atau kurang tidur mungkin mempercepatkan proses kebotakan, walaupun genetik sudah menentukan corak asasnya.
Selain hormon dan genetik, pemakanan memainkan peranan penting. Kekurangan protein, zat besi, zink, atau vitamin tertentu boleh melemahkan rambut.
TOPI, PRODUK RAMBUT, MITOS
Pemakaian topi atau helmet biasanya tidak menyebabkan botak, kecuali terlalu ketat atau tidak bersih.
“Ramai yang salah faham dan percaya memakai topi atau topi keledar setiap hari boleh membuatkan rambut gugur lebih cepat. Sebenarnya, ia hanya menjejaskan rambut jika terlalu ketat atau kotor. Folikel rambut tetap selamat.
“Selain itu, mencukur kepala tidak menjadikan rambut lebih tebal. Rambut hanya nampak lebih kasar kerana hujungnya tumpul, tetapi jumlah dan ketebalan sebenar folikel tidak berubah.
“Produk rambut biasa tidak menjejaskan folikel, tetapi bahan kimia keras atau penggunaan berlebihan boleh menimbulkan keradangan kulit kepala,” kata Dr. Rasool.
RAMBUT MENIPIS
Usahawan salon wanita, Nursyasya Afina Suhaimi berkata, wanita yang mengalami stres tinggi, kurang tidur, atau diet tidak seimbang cenderung menipis rambut lebih cepat.

Walaupun folikel masih aktif, rambut nampak lebih halus dan lemah, terutamanya di bahagian tengah kepala.
Katanya, walaupun rambut gugur dalam jumlah banyak, folikel rambut masih aktif, jadi kebotakan sepenuhnya jarang berlaku.
“Corak penipisan rambut pada wanita dan lelaki juga berbeza. Lelaki biasanya menipis di bahagian belakang atas kepala dan garis rambut depan, seolah-olah ada tompok-tompok nipis yang jelas kelihatan.
“Wanita pula biasanya mengalami penipisan secara lebih sekata di seluruh kepala menyebabkan rambut nampak lebih jarang dan kurang tebal, tetapi tidak membentuk tompok jelas seperti lelaki,” katanya.
GAYA HIDUP, FAKTOR PENYUMBANG
Nursyasya Afina berkata, rambut wanita mudah terjejas apabila gabungan faktor hormon, stres, dan pemakanan tidak seimbang berlaku.
“Rambut mereka nampak lebih halus dan lemah, terutamanya di bahagian tengah kepala. Ini adalah fenomena biasa dan biasanya folikel masih ada, jadi rambut boleh tumbuh semula jika keadaan pulih,” katanya.
Bukan sahaja gaya hidup, pemakanan yang seimbang turut memberi kesan besar kepada kesihatan dan ketahanan rambut wanita.
Wanita yang kekurangan protein, zat besi, zink, atau vitamin tertentu lebih cepat menipis rambut, terutama di bahagian tengah kepala.
Pemakanan sihat kekalkan rambut sedia ada, tetapi tidak boleh mengubah genetik.










