13kg ganja RM40,000 terapung di perairan Kuala Perlis

13kg ganja RM40,000 terapung di perairan Kuala Perlis

ISMAIL Hashim (tiga dari kanan) menunjukkan gabus dan guni yang digunakan bagi mengapungkan ketulan ganja yang dirampas di perairan Kuala Perlis berhampiran Pulau Ketam, Perlis, pada awal bulan ini dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam negeri, Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas ganja seberat 13 kilogram (kg) dianggar bernilai RM40,300 yang dibiarkan terapung di perairan Kuala Perlis berhampiran Pulau Ketam, di sini, pada 4 Januari lalu. 

Menerusi rondaan air sekitar pukul 8 malam itu, anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis telah menjumpai satu bungkusan guni berwarna merah jambu yang bertulisan Thailand dalam keadaan terapung.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, pemeriksaan lanjut ke atas guni itu mendapati terdapat 13 ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis dengan berat keseluruhan dianggarkan 13 kg.

“Ini merupakan rampasan ganja pertama bagi tahun ini malah kita percaya sindiket dari Thailand telah meninggalkan bungkusan guni itu untuk diambil oleh pihak di sebelah sini,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam negeri, di sini, hari ini. 

Ismail berkata, bungkusan guni tersebut juga diapungkan dengan menggunakan gabus malah sindiket turut menggunakan guni berwarna merah jambu bagi memudahkan pengesanan ganja yang ditinggalkan itu. 

Ujar beliau, berdasarkan siasatan awal, bungkusan guni ganja itu juga dipercayai ditinggalkan di perairan berkenaan dalam lingkungan waktu antara pukul 7 sehingga 8 malam. 

“Secara keseluruhan, semua dadah dirampas ini boleh digunakan oleh kira-kira 65,000 penagih malah pengedarannya juga dipercayai untuk pasaran Utara Semenanjung Malaysia dan Lembah Klang,” katanya. 

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, Ismail berkata, Kastam negeri turut merampas 5,000 batang rokok menerusi pemeriksaan ke atas sebuah premis terbiar di Kampung Guar Nangka, Arau, pada 12 Januari lalu. 

Ismail berkata, semua rokok dirampas itu dianggarkan bernilai RM15,000 dan melibatkan duti atau cukai sebanyak RM34,500.

“Modus operandi sindiket adalah dengan menjadikan premis terbiar sebagai tempat transit sementara untuk menyimpan rokok sebelum diedarkan ke pasaran tempatan. Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×