5 langkah untuk perangi rasuah dalam MINDEF, ATM

5 langkah untuk perangi rasuah dalam MINDEF, ATM

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semakan dan penyusunan semula keseluruhan prosedur perolehan merupakan antara lima langkah pembaharuan tatakelola Kementerian Pertahanan untuk memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah kedua pula pelaksanaan digitalisasi secara menyeluruh di kementerian bagi memastikan teknologi menjadi pemangkin untuk ketelusan, keutuhan dalam semua proses dan projek melibatkan dana kerajaan.

Katanya, langkah ketiga adalah penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara lebih menyeluruh untuk memudahkan analisis dan jangkaan dalam proses perolehan termasuk perbandingan kos, spefikasi dan kecekapan perolehan dengan negara-negara lain.

“Langkah keempat adalah penubuhan Lembaga Pengukuhan Keutuhan dan Amanah, sebuah badan yang akan memandu kementerian dalam mengemudi semua urusan berkaitan penambahbaikan integriti dan pelaksanaan amanah dengan sebaiknya.

“Terakhir adalah pelaksanaan kerangka alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam tatakelola kementerian dan ATM bagi memastikan jurang governan dapat dipertingkatkan selaras dengan agenda kelestarian,” katanya pada Sesi Penerangan Menteri Pertahanan mengenai isu terkini berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, lima langkah tersebut adalah untuk memenuhi tiga objektif utama iaitu antaranya adalah menutup sebaik mungkin segala ruang perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.

Selain itu, katanya, bagi meningkatkan kecekapan dan memudahkan pengesanan risiko serta memastikan kementerian mempunyai teknologi yang unggul.

“Insya-Allah ia tidak akan berhenti di situ sahaja, MINDEF akan terus meneroka lebih banyak ikhtiar dan peluang yang akan terus memantapkan kewibawaan kementerian serta ATM.

“Ini adalah tanggungjawab besar MINDEF untuk memulihkan integriti, mengembalikan kepercayaan serta memastikan pertahanan negara kukuh, bersih dan dihormati,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×