PELANCARAN Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi isyarat anjakan dalam sejarah pembangunan pendidikan negara.
Ekosistem pendidikan yang dinamik pada hari ini menuntut tindakan segera untuk memastikan sistem pendidikan bergerak seimbang dengan perubahan.
Dalam konteks dunia yang sedang melalui gelombang transformasi teknologi, peralihan geopolitik dan krisis nilai kemanusiaan menjadikan pendidikan dikemukakan bukan sekadar sebagai sektor dasar awam tetapi sebagai teras kelangsungan negara bangsa.
Ucapan Perdana Menteri merangkumi pendekatan menyeluruh, menggabungkan dimensi kemanusiaan, kebudayaan dan daya saing global dalam satu kerangka strategik jangka panjang.
Mesej yang disampaikan perlu dihayati dan difahami supaya semua pihak berupaya memainkan peranan masing-masing bagi melaksanakan tanggungjawab besar ini.
Berbeza dengan banyak pelan pendidikan yang cenderung menumpukan aspek kebolehpasaran tenaga kerja, RPN 2026–2035 meletakkan konsep pembangunan karakter dan nilai untuk melonjakkan pembentukan peribadi serta sikap tanpa meminggirkan keperluan kemahiran teknologi semasa.
Perdana Menteri menegaskan subjek sebenar pendidikan ialah manusia, bukan mesin ekonomi atau statistik prestasi.
Pendidikan, menurut pendekatan ini, harus membina individu yang memiliki nilai, akhlak, kesedaran sosial dan tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.
Dalam wacana pendidikan moden yang sering terjerumus ke dalam pengukuran kuantitatif dan indikator prestasi, penekanan ini memberi dimensi normatif yang sangat penting.
Ini bukan romantisme moral tetapi keperluan strategik. Negara yang gagal membina asas etika dan nilai akan melahirkan golongan profesional yang cekap tetapi tidak berintegriti, elit yang berpendidikan tinggi tetapi terpisah daripada kepentingan awam.
Dalam konteks Malaysia yang masih berhadapan dengan isu rasuah, ketirisan dan polarisasi sosial, pendidikan berasaskan nilai menjadi instrumen pembaikan jangka panjang yang paling berkesan.
Dalam masa sama, RPN ini juga bersifat sangat realistik tentang cabaran masa hadapan. Perdana Menteri secara jelas menegaskan keperluan rakyat negara ini untuk menguasai teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI), digitalisasi, peralihan tenaga, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Dalam ekonomi global yang semakin didorong inovasi dan automasi, keupayaan negara untuk bersaing tertumpu pada kualiti modal insan. Justeru itu, ekosistem pendidikan seharusnya memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan yang berupaya untuk menyokong agenda pembangunan negara yang seimbang pada masa hadapan.
Pendekatan dua paksi (nilai kemanusiaan dan penguasaan teknologi) meletakkan RPN ini dalam tradisi pembangunan yang seimbang. Negara tidak boleh maju dengan mengorbankan jiwanya dan juga tidak boleh mempertahankan jiwanya dengan mengabaikan kemajuan.
Dalam kerangka ini, pendidikan berfungsi sebagai mekanisme integrasi antara warisan budaya dan tuntutan masa hadapan.
Isu bahasa, yang sering menjadi polemik dalam sejarah pendidikan, ditangani secara lebih sistematik dan strategik. Penegasan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu dikekalkan, malah diperkukuh dengan mewajibkan di semua aliran pendidikan, termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama dan aliran Sistem Pendidikan Bersepadu (UEC).

Pada masa sama, Perdana Menteri secara terbuka mengakui penguasaan bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan dengan lebih serius. Ini mencerminkan pendekatan yang matang terhadap realiti sosiolinguistik dan ekonomi global. Bahasa Melayu berfungsi sebagai perekat identiti, kewarganegaraan dan penyatuan kaum, manakala bahasa Inggeris berfungsi sebagai alat mobiliti global dan penguasaan ilmu.
Sistem pendidikan yang berjaya mampu melahirkan generasi dwibahasa yang berakar di tanah air tetapi mampu berfungsi di pentas antarabangsa.
Dalam aspek struktur sistem, RPN memperkenalkan beberapa reformasi penting di peringkat sekolah rendah dan menengah, termasuk pengenalan semula Sistem Matriks Pembelajaran Malaysia dan ujian Darjah 4.
Ini bertujuan mengesan kelemahan asas lebih awal dan memberi ruang intervensi sebelum jurang pembelajaran menjadi kronik.
Dalam konteks kajian pendidikan antarabangsa, pendekatan ini sejajar dengan prinsip Penilaian Diagnostik Awal yang digunakan secara meluas di negara berprestasi tinggi.
Namun kejayaan pendekatan ini sangat bergantung kepada kualiti guru, sokongan pedagogi dan kapasiti sekolah. Perhatian juga sewajarnya diberikan kepada mewujudkan saiz kelas mengikut standard antarabangsa, kecukupan guru berdasarkan opsyen dan latihan kepada guru untuk meningkatkan kompetensi.
Penilaian awal hanya memberi makna jika diikuti dengan program pemulihan yang berkesan, latihan guru yang mencukupi dan sokongan sumber tambahan kepada sekolah.
Tanpa ini, penilaian berisiko menjadi sekadar mekanisme memberi label yang menambah tekanan kepada pelajar tanpa meningkatkan kualiti pembelajaran. Oleh itu, pelaksanaannya perlu berhati-hati agar setiap langkah benar-benar menyumbang kepada pencapaian matlamat pendidikan.
Di peringkat pendidikan tinggi pula, RPN menekankan usaha menyeluruh untuk menstruktur semula ekosistem pembelajaran. Langkah pengambilalihan pra-universiti oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, perluasan tempat kursus kritikal, serta tumpuan kepada bidang strategik seperti AI, sains data, kewangan dan komunikasi menunjukkan kesungguhan untuk menyelaraskan penawaran pendidikan dengan keperluan ekonomi dan sosial negara.
Pengenalan semula mata pelajaran asas seperti Perlembagaan dan Sejarah Malaysia di universiti juga penting. Ia menzahirkan keprihatinan terhadap generasi muda yang semakin jauh daripada asas kenegaraan.
RPN juga menekankan keadilan sosial melalui pendidikan percuma dan akses saksama. Pelajar miskin tegar dan orang kurang upaya (OKU) mendapat peluang sama rata, manakala penambahan tempat pengajian tinggi membantu memutus kitaran kemiskinan melalui mobiliti pendidikan.
Ini sejajar bukti pendidikan tinggi antara instrumen paling berkesan untuk mengurangkan ketidaksamaan jangka panjang.
Namun, cabaran sebenar bukan pada dokumen pelan tetapi pada pelaksanaan. Laporan bulanan, pemantauan berterusan dan akauntabiliti terus kepada kepimpinan menunjukkan kesedaran kerajaan terhadap kelemahan birokrasi tradisional dalam melaksanakan reformasi berskala besar.
RPN 2026–2035 adalah percubaan serius merombak masa hadapan negara melalui pendidikan. Jika dijalankan dengan disiplin, integriti dan kesungguhan politik, maka ia berpotensi menjadi asas kebangkitan baharu negara.
Akhirnya, sejarah akan menilai RPN bukan berdasarkan indahnya dokumen tetapi melalui nasib sebenar anak-anak di bilik darjah, universiti, dan pasaran kerja 10 tahun dari sekarang. Di situlah ukuran sebenar kejayaannya.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Mohd. Abdullah Jusoh ialah Pensyarah Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).










