PETALING JAYA: PGF Capital Berhad mencatatkan hasil sebanyak RM130.1 juta bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2026 berakhir 30 November 2025, meningkat 7.3 peratus berbanding RM121.3 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu disokong permintaan penebat yang berterusan khususnya dari pasaran Oceania.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PGF Capital, Fong Wern Sheng berkata, kumpulan kekal positif terhadap prospek tahun kewangan 2026, disokong keperluan peraturan, inisiatif berkaitan perumahan serta program kecekapan tenaga di pasaran teras Australia dan New Zealand.
“Di Malaysia, peraturan kecekapan tenaga dan langkah dasar yang diumumkan di bawah Belanjawan 2026, termasuk mekanisme harga karbon serta insentif pembiayaan hijau, dijangka menyokong penggunaan penyelesaian penebat yang lebih meluas, khususnya dalam kalangan pengguna komersial dan industri.
“Selain itu, pembangunan infrastruktur sektor awam yang berterusan dalam sektor pengangkutan dan utiliti dijangka memberi sokongan sederhana kepada aktiviti pembinaan, sekali gus menyokong permintaan terhadap produk berkaitan bangunan,” katanya dalam kenyataan.
Pengeluar penebat yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia itu merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) berjumlah RM26.9 juta, hampir menyamai RM27.0 juta yang dicatatkan pada 30 November 2025, meskipun terkesan oleh kerugian tidak direalisasi mark-to-market sebanyak RM2.54 juta serta kerugian pertukaran asing berjumlah RM1.22 juta.
Keuntungan selepas cukai (PAT) bagi tempoh tersebut berjumlah RM18.0 juta berbanding RM20.0 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Bagi suku ketiga tahun kewangan 2026, kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM44.1 juta, meningkat 14.8 peratus berbanding RM38.4 juta pada suku sama tahun lalu.
PBT suku tersebut turut meningkat kepada RM8.7 juta berbanding RM8.4 juta sebelumnya, disokong prestasi operasi yang stabil serta kecekapan operasi, walaupun sebahagiannya diimbangi oleh kerugian mark-to-market.
Segmen penebat kekal sebagai penyumbang utama kepada prestasi kumpulan, merangkumi lebih 99 peratus daripada jumlah hasil bagi 30 November 2025.
Hasil segmen itu meningkat kepada RM129.7 juta berbanding RM120.3 juta tahun lalu, didorong permintaan stabil dari Australia dan New Zealand.
PBT segmen penebat turut meningkat kepada RM32.5 juta daripada RM31.4 juta, mencerminkan kecekapan operasi yang berterusan meskipun berdepan kesan turun naik mata wang.
Dalam pada itu, kumpulan turut melihat prospek memberangsangkan bagi produk panel sandwic bulu mineralnya yang disasarkan untuk aplikasi berprestasi tinggi seperti pusat data, selepas memperoleh pensijilan SIRIM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA).
Setakat 30 November 2025, kedudukan kewangan PGF Capital kekal kukuh dengan nisbah penggearan bersih sebanyak 0.32 kali dan aset bersih sesaham berjumlah RM1.43. – UTUSAN










