SERAMAI 1,500 orang pengunjung hadir di Kembara Kerjaya Madani Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) di Kuantan, Pahang baru-baru ini.
Pelbagai pengisian dilaksanakan antaranya perkhidmatan konsultasi SPA berkaitan pengambilan ke perkhidmatan awam, panduan permohonan jawatan, semakan status permohonan serta pendaftaran melalui Sistem Permohonan Jawatan SPA (SPA9) termasuk sesi perkongsian panduan temu duga dan taklimat kerjaya daripada pegawai SPA, Kementerian Kesihatan, MYDigital ID dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ujian pemeriksaan fizikal, pancaindera dan kecergasan secara terbuka adalah salah satu inisiatif SPA dalam mendapatkan calon pemohon pekerjaan yang berkualiti ke perkhidmatan awam bagi klasifikasi perkhidmatan keselamatan dan pertahanan awam.
Calon yang berjaya melepasi ujian tersebut memperoleh insentif menarik iaitu menduduki penilaian memasuki perkhidmatan awam (PSEE) sebagai profiling dan tempoh sah laku keputusan bagi calon yang lulus adalah selama satu tahun dari keputusan dikeluarkan.
Turut diadakan temu duga terbuka bagi jawatan Jururawat Gred U5 yang memberi peluang kepada calon berkelayakan untuk menghadiri sesi temu duga.
Calon yang berjaya akan diperakukan sebagai calon simpanan dan tawaran serta penempatan pelantikan adalah tertakluk kepada calon memenuhi syarat yang telah ditetapkan dan berdasarkan kekosongan jawatan di Kementerian Kesihatan.
Kembara Kerjaya Madani SPA merupakan inisiatif berterusan SPA dalam usaha mendekati rakyat serta memberi pendedahan, galakan dan panduan kepada pencari kerja khususnya di negeri Pahang untuk mendapatkan peluang kerjaya dalam sektor awam.
Program ini juga berperanan sebagai platform penghubung antara SPA dan masyarakat setempat dalam menyampaikan perkhidmatan secara terus dan bersemuka.
SPA sentiasa memastikan peluang kerjaya dalam perkhidmatan awam dapat di akses secara saksama oleh seluruh rakyat Malaysia.
Justeru, program ini menjadi medium penting dalam usaha mendekati pencari kerja serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan SPA secara inklusif dan berfokus kepada rakyat. – UTUSAN
SURUHANJAYA PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA










