Kawal kecerdasan buat untuk selamatkan maruah

Kawal kecerdasan buat untuk selamatkan maruah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM tempoh kurang daripada satu dekad, dunia teknologi digital berubah dengan begitu pantas sehingga sukar membezakan antara hiburan, inovasi dan ancaman.

Apa yang dulu dianggap sekadar bahan gurauan kini berkembang menjadi kuasa yang mempengaruhi maruah, keselamatan dan kesejahteraan manusia.

Lima atau enam tahun lalu, aplikasi yang membolehkan wajah dalam foto menyanyi atau bercakap dianggap lucu dan dikongsi secara santai di media sosial menjadi hiburan pejabat dan bukti kreativiti kecerdasan buatan (AI).

Namun menjelang 2026, teknologi yang sama berkembang jauh lebih kompleks dan berbahaya. Hal ini memaksa masyarakat, kerajaan serta institusi agama menilai semula hubungan antara teknologi, etika dan nilai kemanusiaan berdasarkan wahyu dan akal.

Kemunculan teknologi deepfake dan AI mengubah cara kandungan digital dihasilkan dan disebarkan. Dahulu, manipulasi imej memerlukan kemahiran teknikal tinggi dan masa yang panjang. Kini, sesiapa sahaja dengan telefon pintar atau platform tertentu boleh menghasilkan imej atau video yang sangat realistik.

Penyalahgunaan teknologi untuk menghasilkan imej seksual tanpa izin, terutamanya melibatkan wanita dan kanak-kanak menjadi isu serius. Lebih membimbangkan, fenomena ini kini mudah diakses melalui platform arus perdana, cepat tular dan sukar dikawal. Dari perspektif Islam, peralihan ini menunjukkan manusia gagal menjaga amanah ilmu dan teknologi yang dipinjamkan Allah SWT.

Di Malaysia, masalah ini bukan lagi terpencil. Statistik menunjukkan peningkatan mendadak kandungan digital yang dijana AI. Kes remaja memanipulasi imej rakan sekelas, ugutan video seks palsu terhadap ahli politik dan penyebaran imej deepfake selebriti menunjukkan teknologi menurunkan kos jenayah siber dan meningkatkan skala kemudaratan.

Dari sudut Islam, kemudaratan ini bertentangan dengan prinsip keadilan dan ihsan yang menjadi asas hubungan manusia.

Dalam Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), keselamatan siber menjadi benteng utama melindungi sistem digital, data dan manusia. Ini bukan sekadar isu teknikal tetapi merangkumi dasar, amalan, budaya organisasi dan kesedaran individu.

Keselamatan siber melindungi automasi, internet kebendaan, perkomputeran awan dan data besar, yang menjadi tulang belakang ekonomi digital.

Tanpa keselamatan siber yang kukuh, AI dan automasi bukan sahaja gagal membawa manfaat, malah boleh menjadi alat merosakkan operasi perniagaan, keselamatan negara mahupun kepercayaan awam.

Dari perspektif Islam, melindungi sistem ini seiring dengan konsep hifz al-mal (pemeliharaan harta) dan hifz al-nafs (pemeliharaan nyawa), terutama apabila berkaitan perkhidmatan kesihatan, kewangan atau infrastruktur kritikal.

Di sinilah paradoks keselamatan siber moden yang mana AI dipromosikan sebagai penyelesaian menyeluruh tetapi kekuatannya bergantung kepada data, reka bentuk dan nilai yang dibina di sebaliknya.

Automasi berlebihan tanpa pengawasan manusia boleh mencipta rasa selamat palsu. Contohnya, seorang pekerja yang tertipu pautan palsu atau arahan suara tiruan boleh merugikan ribuan ringgit dalam sekelip mata.

 

PENDIDIKAN digital mesti disepadukan dengan pendidikan nilai yang digandingkan dengan kesedaran akhlak, amanah dan tanggungjawab sosial untuk difahami semua lapisan masyarakat.

CARA ISLAM

Dalam Islam, ini menunjukkan kegagalan menyeimbangkan tawakkul dan ikhtiar berserah tanpa usaha cukup atau bergantung pada teknologi tanpa kebijaksanaan manusia.

Di Malaysia, cabaran ini melibatkan kekurangan pakar keselamatan siber, kos pelaksanaan yang tinggi dan jurang kesedaran dalam kalangan industri kecil dan sederhana.

Undang-undang seperti Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 menyediakan kerangka tetapi penguatkuasaan dan kerjasama antarabangsa masih kritikal.

Jenayah siber yang merentas sempadan memerlukan pendekatan yang lebih luas daripada nasional. Dalam Islam, keadilan bukan sekadar undang-undang wujud tetapi mesti dilaksanakan secara konsisten, beramanah, selaras prinsip al-‘adl (adil) dan al-mas’uliyyah (tanggungjawab).

Teknologi tidak boleh dipisahkan daripada maruah insan dan amanah. Al-Quran menegaskan Allah memuliakan anak Adam (Surah al-Isra’ ayat 70).

Penyalahgunaan teknologi untuk menjatuhkan maruah, mendedahkan aurat palsu atau memfitnah melalui imej atau video adalah pencabulan kemuliaan ini. Ia bukan sahaja kesalahan undang-undang tetapi dosa moral.

Surah al-Hujurat ayat 12 mengingatkan umat Islam menjauhi prasangka, mengintip dan mengumpat, yang kini dimanifestasikan melalui deepfake dan manipulasi digital.

Hadis Nabi SAW menekankan prinsip la darar wa la dirar iaitu tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak membalas dengan kemudaratan. Teknologi yang menyakiti orang lain tanpa hak bertentangan dengan maqasid syariah.

Tokoh Islam klasik dan kontemporari memberikan panduan dalam konteks digital. Imam al-Ghazali menekankan lima perkara asas maqasid syariah iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

AI yang menghasilkan imej seksual palsu mengancam akal, maruah dan keturunan. Serangan siber terhadap sistem kewangan dan infrastruktur kritikal mengancam harta dan nyawa. Keselamatan siber bukan isu teknikal sahaja tetapi kewajipan menjaga maslahat umum.

Pendekatan terhadap AI dan keselamatan siber mesti matang dan bersepadu. Pencegahan lebih penting daripada reaksi selepas kejadian. Ini termasuk reka bentuk teknologi beretika dari awal, garis panduan jelas kepada pembangun, pemantauan manusia berterusan dan latihan kesedaran digital untuk semua.

Konsep manusia dalam kitaran penting, bermakna AI digunakan untuk kelajuan data, manusia memberikan pertimbangan moral, nilai dan kebijaksanaan. Ini selaras prinsip Islam yang menolak penyerahan mutlak kepada mesin tetapi menekankan peranan akal, hikmah dan pertimbangan moral.

Pendidikan digital mesti diintegrasikan dengan pendidikan nilai. Kesedaran tentang deepfake, penipuan AI serta keselamatan data perlu difahami pelajar, ibu bapa, pekerja dan pemimpin.

Institusi pendidikan dan agama mempunyai peranan strategik mengaitkan literasi digital dengan akhlak, amanah serta tanggungjawab sosial. Dalam Islam, teknologi bukan neutral sebaliknya mencerminkan niat, nilai dan tahap ketakwaan penggunanya.

Kesimpulannya, teknologi digital dan AI menawarkan peluang luar biasa tetapi juga risiko besar. Untuk memastikan ia memberi manfaat sebenar, manusia mesti memimpin dengan nilai, akal dan etika.

Keselamatan siber, pendidikan nilai dan pengawasan manusia bukan pilihan tetapi amanah. Jika dilaksanakan dengan bijak, teknologi dapat memperkasakan manusia, melindungi maruah dan memulihkan kesejahteraan sosial serta alam sekitar.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Unit Pengajian Islam dan Falsafah, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×