KULAT kuku bukan sekadar masalah kosmetik yang membuatkan kuku kelihatan tidak cantik, malah boleh menjejaskan keyakinan diri sekiranya dibiarkan berlarutan. Keadaan ini sering dipandang ringan kerana kebiasaannya tidak menyebabkan kesakitan.
Namun, jangkitan kulat kuku sebenarnya boleh menjadi lebih serius jika tidak dirawat dengan betul dan berterusan.
Dalam sesetengah kes, jangkitan boleh merebak serta memerlukan tempoh rawatan yang lebih lama.
FAKTOR JANGKITAN
Pakar perunding dermatologi dan pakar bedah dermatologi, Dr. How Kang Nien berkata, tanda awal kulat kuku lazimnya bermula dengan perubahan warna pada kuku yang kelihatan berbeza daripada warna asal.

Katanya, kuku juga boleh terpisah sedikit daripada lantai kuku, satu keadaan yang dikenali sebagai onycholysis dan sering berlaku tanpa disedari oleh pesakit.
Beliau menjelaskan faktor jangkitan sering berkait rapat dengan pekerjaan dan persekitaran, namun aspek ini kerap dipandang remeh oleh kebanyakan individu.
Individu yang kerap terdedah kepada air seperti pekerja pasar atau mereka yang berurusan dengan bahan basah lebih mudah mengalami kulat kuku akibat kelembapan yang berpanjangan.
Pemakaian kasut tertutup dalam tempoh yang lama turut menyumbang kepada masalah ini, terutama kasut yang mudah menjadi lembap dan berpeluh.
Keadaan kasut yang lembap mewujudkan persekitaran ideal untuk kulat membiak, khususnya bagi individu yang perlu memakai but keselamatan setiap hari.
“Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, jangkitan ini boleh merebak ke kuku lain dan memerlukan rawatan yang lebih intensif serta berpanjangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain faktor luaran, tahap kesihatan seseorang juga memainkan peranan penting dalam jangkitan kulat kuku.
Individu dengan sistem imun yang lemah seperti pesakit diabetes, HIV, mereka yang mengambil ubat steroid atau sedang menjalani kemoterapi lebih mudah dijangkiti kulat.
Apabila sistem imun berada pada tahap rendah, kulat mudah mengambil peluang untuk membiak di celah kuku tanpa disedari kerana kebanyakan kes tidak menyebabkan rasa sakit.
Antara tanda awal yang perlu diberi perhatian ialah perubahan warna kuku menjadi putih, kekuningan atau sedikit coklat.
PETANDA MASALAH KESIHATAN
Namun begitu, kuku yang berubah menjadi terlalu gelap tidak semestinya disebabkan oleh kulat dan boleh menandakan masalah lain yang lebih serius seperti kanser.
Dr. Kang Nien berkata, trauma akibat hentakan atau pemakaian kasut yang terlalu ketat juga boleh menyerupai simptom jangkitan kulat kuku.
“Malah, membezakan jangkitan kulat dengan keadaan lain seperti psoriasis, ekzema atau tumor kadangkala sukar dilakukan, termasuk oleh doktor.
“Oleh itu, penggunaan krim atau rawatan tanpa diagnosis yang tepat boleh melambatkan proses penyembuhan dan menyebabkan jangkitan berlarutan,” katanya.
Sekiranya kuku tidak menunjukkan sebarang perubahan selepas tiga bulan rawatan asas, pesakit disarankan mendapatkan pemeriksaan lanjut daripada pakar.
RAWATAN
Dari sudut rawatan, pemeriksaan klinikal semata-mata tidak mencukupi kerana banyak keadaan lain mempunyai simptom yang hampir sama dengan kulat kuku.
Diagnosis biasanya melibatkan gabungan pemeriksaan visual dan ujian makmal, di mana kuku akan diketip dan dihantar untuk mengenal pasti jenis kulat sebenar.
Bagi kes yang ringan, rawatan awal lazimnya melibatkan penggunaan ubat anti-kulat yang boleh didapati di farmasi, khususnya dalam bentuk sapuan khas atau nail lacquer.
Ubat tersebut perlu digunakan secara konsisten pada kuku yang telah dipotong dan ditipiskan bagi memastikan penyerapan yang lebih berkesan.
Dalam kes yang lebih teruk, kuku yang menebal akan diratakan dan sekiranya rawatan sapuan tidak mencukupi, ubat oral akan dipertimbangkan mengikut jenis kulat dan lokasi jangkitan.
Tempoh rawatan bergantung kepada kadar pertumbuhan kuku, dengan kuku tangan biasanya pulih lebih cepat berbanding kuku kaki.
Walaupun jangkitan kulat kuku tidak merebak sepantas kulat kulit, pencegahan tetap penting melalui penjagaan kebersihan kaki, kasut dan pengurusan kesihatan secara menyeluruh.
Dr. Kang Nien berkata, rawatan kulat kuku memerlukan kesabaran kerana ia bukan proses segera, sebaliknya memerlukan pemantauan berkala untuk memastikan jangkitan benar-benar pulih.
“Kebersihan kaki perlu diberi perhatian, khususnya bagi mereka yang terdedah kepada kelembapan untuk tempoh yang lama. Selepas kaki dibasahkan, sama ada ketika mandi atau berpeluh, ia perlu dikeringkan sebelum mengenakan sarung kaki atau kasut.
“Kasut dan sarung kaki juga perlu dibersihkan atau dirawat kerana kulat berpotensi kekal di permukaan fabrik,” katanya.










