Gugur kandungan guna pil Miso

Gugur kandungan guna pil Miso

SEBAHAGIAN pil Miso yang dijual secara terbuka malah mudah diperoleh di media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pil untuk tujuan menggugurkan kandungan yang sepatutnya hanya boleh dijual kepada pengguna dengan preskripsi doktor kini mudah diperoleh dan bebas ‘didagangkan’ serta dipromosi secara terbuka di media sosial.

Pil jenis ‘Misoprostol’ atau se­ring diringkaskan sebagai ‘Miso’ menjadi antara yang paling po­pular dipromosikan di platform media sosial seperti TikTok dan Threads.

Boleh diperoleh pada harga serendah antara RM290 sehingga RM500, pil berkenaan menjadi pilihan gadis yang hamil selepas ‘terlanjur’ dengan kekasih selain pasangan suami isteri yang tidak bersedia untuk menimang cahaya mata kerana kekangan ekonomi.

Wartawan Utusan Malaysia berjaya berhubung dengan seorang penjual pil itu yang giat mempromosikannya kepada pengguna media sosial TikTok.

Wartawan yang berpura-pura mahu membeli pil berkenaan lantas ditawarkan dua pilihan set pil Miso daripada penjual berkenaan.

Katanya, pil tersebut dijual pada harga RM360 bagi pembeli yang hamil dengan kandungan di bawah usia tiga bulan.

Menurutnya, bagi set berharga RM500, penjual itu menawarkan lima biji pil Miso dan diberi bersama sejenis lagi ubat bernama Mifepristone yang didakwanya memudahkan keguguran dan mengurangkan risiko sakit.

“Guna set yang mahal lagi mudah hendak gugur, belum ada lagi pembeli yang gagal gugurkan kandungan apabila menggunakan set ini.

“Kesan pil ini dalam 24 jam, ada pengguna yang makan pukul 12 tengah malam kemudian pukul 5 pagi sudah mula bleeding (turun darah)” kata­nya ketika dihubungi semalam.

Penjual itu juga mendakwa banyak kes penipuan berlaku melibatkan penjualan pil Miso tersebut dan dia antara penjual yang menjual pil yang asli.

“Pil yang saya tawarkan yang asli bukan tiruan, puan perlu hati-hati sebab sekarang ramai penipu. Ada yang mempromosikan pil ini namun mereka tidak mempunyai stok ubat ini pun sebaliknya memberikan yang palsu kepada pembeli,” katanya lagi.

Misoprostol merupakan ubat ter­kawal berdasarkan Akta Ra­cun 1952 dan hanya boleh di­bekalkan kepada pesakit de­ngan preskripsi doktor.

Penjual kedua yang dihubungi pula menawarkan harga lebih rendah iaitu RM290 selain berkongsi maklum balas pembeli kepada wartawan.

Selain dihantar melalui pos, dia memberitahu boleh menghantar pil tersebut secara tunai semasa penghantaran (COD) kepada pelanggannya.

Pemerhatian di media sosial juga mendapati kebanyakan peniaga pil ini menggunakan taktik yang sama iaitu ‘meman­cing’ pelanggan menggunakan maklum balas yang diperoleh daripada pembeli sebelum ini.

Rata-rata pembeli yang me­mberi maklum balas pula menyatakan keberhasilan me­reka menggugurkan kan­du­ngan de­ngan memerlukan kurang dari beberapa jam sahaja untuk ‘turun darah’.

“Saya pergi klinik untuk pe­riksa takut tak bersih (rahim), Lega sangat, bersih dan clear semua. Betul-betul efektif dan berbaloi ubat ni, daripada kena tipu beli yang murah lebih baik beli dengan awak (penjual),” kata seorang pembeli yang memberikan maklum balas.

Sepanjang proses pembe­lian pil itu, pembeli juga akan diajar cara penggunaanya oleh penjual sehingga janin benar-benar keluar dan rahim bersih.

Ada juga antara pembeli yang secara terbuka mengirimkan imej darah yang keluar, malahan janin yang sudah terbentuk hampir sempurna se­perti manusia juga turut di­kongsikan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×