BERMULA sebagai terapi jiwa selepas kehilangan insan tersayang, minat terhadap jahitan tangan kini berkembang menjadi perniagaan sambilan kepada Siti Liana Abdullah, 39 yang mengusahakan jenama kraftangan tempatan dikenali sebagai Liana’s Barehands.
Siti Liana sebagai pengasas jenama itu menjalankan perniagaan jahitan tangan tersebut dari rumah di Kota Kinabalu, Sabah, di samping kerjaya sepenuh masa sebagai Jurutera Visual di sebuah syarikat teknologi maklumat (IT).
Katanya, minat terhadap jahitan berakar sejak kecil apabila dibesarkan dalam keluarga tukang jahit.
“Ibu saya, Aminah Abdullah @ Law Ting Hong merupakan seorang tukang jahit sepenuh masa yang mempunyai kedai sendiri dan pendedahan awal itu menjadikan jahitan sebahagian daripada kehidupannya.
“Saya sudah mula menjahit pakaian anak patung sendiri sejak kecil dan menjahit baju sekolah sendiri sejak Tingkatan tiga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum menceburi bidang profesional dan teknologi, Siti Liana merupakan pesara tentera berpangkat Kapten dan mempunyai pengalaman dalam bidang keselamatan siber.
Walaupun sudah berkecimpung dalam bidang IT, Siti Liana mengakui minat terhadap jahitan tidak pernah pudar.
“Inspirasi untuk memulakan Liana’s Barehands hadir selepas pemergian ibu, pada hujung 2018.
“Dalam tempoh tersebut, jahitan menjadi medium ketenangan dan terapi emosi, sebelum menyedari potensi minat itu untuk dikembangkan secara lebih serius.
“Saya memulakan perniagaan ini bukan semata-mata untuk keuntungan, tetapi untuk meneruskan legasi ibu dan memberi keseimbangan kepada hidup saya,” jelasnya.
Pada peringkat awal, Liana’s Barehands menumpukan kepada jahitan tangan tempahan khas atau bespoke.
“Namun, sejak 2025, perniagaan ini mula menghasilkan produk ready stock yang praktikal untuk kegunaan harian seperti beg tote serbaguna, sarung buku, beg kecil, beg telur, pembawa bekas makanan, dompet mini dan penanda buku pemegang pen.
“Harga produk ditawarkan antara RM5 hingga RM200, bergantung kepada jenis dan kerumitan hasil jahitan.
“Malah sehingga kini, saya telah menjual lebih 1,700 produk jahitan ini,” katanya.
Walaupun diusahakan secara sambilan, sambutan pelanggan disifatkan sebagai amat menggalakkan.
Selain jualan atas talian, Siti Liana turut menyertai Artisan Market pada hujung minggu di kompleks membeli-belah sekitar Kota Kinabalu, yang secara tidak langsung membuka peluang kepada tempahan khas daripada pelanggan baharu.
“Ramai pelanggan menghargai jahitan yang kemas, fungsi produk serta cerita di sebalik setiap rekaan,” katanya.
Dari sudut prestasi kewangan, beliau menyasarkan perniagaan dibuat secara realistik memandangkan ia diusahakan sambil bekerja.
“Tahun lalu mencatatkan peningkatan berperingkat, manakala tahun ini fokus diberikan kepada pengurusan tempahan yang lebih tersusun serta peningkatan kualiti dan konsistensi produk.
“Antara cabaran utama yang dihadapi ialah pengurusan masa, kos bahan mentah berkualiti tinggi serta justifikasi harga produk kepada pelanggan.
“Harga fabrik premium seperti kain kapas boleh mencecah RM75 semeter, sekali gus memberi kesan kepada harga jualan akhir,” katanya.
Walaupun pernah mengalami kerugian kecil, Siti Liana menganggapnya sebagai proses pembelajaran yang membina ketahanan diri.
Dalam menghadapi persaingan, khususnya daripada produk murah di platform dalam talian, Siti Liana memilih untuk kekal fokus kepada nilai kualiti dan kejujuran.
“Saya percaya rezeki adalah daripada Allah. Fokus saya adalah menghasilkan produk yang jujur, berkualiti dan konsisten,” katanya.
Keunikan Liana’s Barehands terletak pada sentuhan peribadi dan nilai emosi iaitu setiap produk dihasilkan dalam kuantiti terhad dengan perhatian terhadap perincian, berbeza daripada pengeluaran yang besar. – UTUSAN









