BUKIT MERTAJAM: Kerajaan berjaya menjimatkan wang negara hampir RM1 bilion dalam perolehan ubat selepas beralih daripada ubat asal jenama mahal dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, kepada ubat generik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia sepatutnya membeli ubat generik sejak dahulu lagi, bukannya bergantung kepada ubat asal dari AS dan Eropah.
Kata beliau, pembelian ubat generik oleh hospital kerajaan telah bermula dua tahun lalu.
Beliau turut mengingatkan semua kementerian dan agensi kerajaan supaya tidak terus bergantung kepada kartel kerana amalan itu menekan rakyat serta menyebabkan negara menanggung kerugian kewangan yang besar.
“Kita telah rugi berpuluh bilion ringgit untuk mendapatkan ubat terbaik dari AS di mana sebiji pil berharga RM100, sedangkan kita boleh mendapatkan ubat sama dengan harga RM10 dari India, Turkiye, Brazil atau China, asalkan ia memenuhi keperluan perubatan kita.
‘’Takkanlah selepas 70 tahun merdeka baru kita nak fikir soal penggunaan ubat generik. Sedangkan ada ubat yang selamat dan berkesan dengan harga jauh lebih murah.
“Kita tidak lagi terikat dengan mentaliti lapuk yang kagum dengan ubat jenama mahal dari AS dan Eropah,” katanya majlis perasmian bangunan baharu Hospital Seberang Jaya di sini, semalam.
Anwar berkata, selagi kerajaan terikat dengan sistem lama dan kartel, usaha menambah peruntukan bagi pembinaan hospital baharu, menaik taraf kemudahan kesihatan dan membuka lebih banyak klinik akan terus terbantut.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Dasar Ubat Generik dalam sektor kesihatan kini menggalakkan penggunaan ubat generik dalam sektor kesihatan awam dan swasta bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada ubat-ubatan berkualiti pada harga berpatutan.
Beliau berkata, rakyat tidak perlu meragui penggunaan ubat generik kerana ia setara dengan ubat asal atau ubat inovatif, malah mampu menjimatkan kos tanpa menjejaskan keselamatan dan keberkesanannya.
Beliau berkata, ubat generik telah melalui pelbagai kajian ketat termasuk Kajian Bioekuivalens bagi membuktikan persamaannya dengan ubat asal dari segi keselamatan dan keberkesanan.
“Bukan kerana ubat generik itu murah, ia tidak selamat atau tidak berkesan. Ini adalah satu anjakan minda yang perlu difahami rakyat. Ia tidak mengurangkan aspek keselamatan atau keberkesanan apabila dipreskripsikan oleh pakar dan pengamal perubatan,” katanya. – UTUSAN










