KUDAT: Dua warga emas maut dalam kebakaran rumah di Kampung Lausan Batu 4 di sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Penolong Penguasa Bomba Darikson Galanang berkata, pasangan suami isteri berusia 74 dan 73 tahun itu ditemui dalam bilik tidur.
“Kedua-dua mangsa rentung dalam kejadian itu, Mangsa pertama dikeluarkan pada pukul dua pagi manakala mangsa kedua pada pukul 3.50 pagi.
“Bagaimanapun, tidak dapat dikenal pasti suami atau isteri yang terlebih dahulu dikeluarkan disebabkan keadaan mayat rentung. Semasa kejadian hanya mereka berada di rumah,” katanya hari ini.
Darikson berkata, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.58 malam kelmarin, sebelum jentera dari BBP Kudat tiba di lokasi pukul 12.36 tengah malam.
Katanya, pasukan bomba berdepan kesukaran untuk memasuki kawasan kejadian berikutan laluan jambatan sempit serta kedudukan wayar elektrik yang rendah, sekali gus menghalang pergerakan jentera. – UTUSAN










