SETIAP kali melalui kawasan sekitar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Raub, sejurus keluar dari simpang lampu isyarat Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dari arah Kuala Lumpur ke Raub, pemandangan yang sering menyapa mata ialah deretan puluhan kenderaan diletakkan di bahu jalan, di luar kawasan kampus.
Keadaan ini berlaku hampir sepanjang masa, sama ada siang mahupun malam. Lebih membimbangkan, kawasan letak kereta sementara ini terletak amat hampir dengan hutan dan belukar.
Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang tersohor, apatah lagi UiTM Raub merupakan kampus baharu dan mercu tanda penting bandar ini, situasi tersebut mencerminkan sesuatu yang kurang seimbang.
Kedudukannya yang strategik di tepi lebuh raya tanpa tol seharusnya menjadi kelebihan. Namun, deretan kenderaan di jalan sempit, berhampiran hutan, dalam keadaan gelap tanpa pencahayaan mencukupi pada waktu malam, menimbulkan rasa tidak selamat dan tidak selesa. Ia menggambarkan kekangan kemudahan asas yang perlu diberi perhatian segera.
Baru-baru ini, isu kekurangan bilik asrama turut dilaporkan ketika sesi kemasukan pelajar baharu. Hakikatnya, masalah ini bukan hanya berlaku di UiTM Raub, malah banyak IPTA dan IPTS di seluruh negara. Namun, situasi di Raub memerlukan pendekatan lebih tersusun dan berpandangan jauh.
Kampus ini wajar diperluaskan dengan pembinaan asrama tambahan serta penyediaan ruang letak kenderaan yang mencukupi. Langkah ini bukan sahaja meningkatkan keselesaan, malah mengurangkan risiko keselamatan pelajar.
Wajar juga kawasan hutan dan belukar di sekitar kampus, khususnya yang bersebelahan LTU, dikaji untuk dijadikan sebahagian daripada pembangunan kampus. Kerajaan boleh mempertimbangkan permohonan tanah daripada kerajaan negeri atau pengambilan balik jika melibatkan hak milik individu.
Jika kawasan tersebut berstatus hutan simpan, pembatalan gazetan boleh dipertimbang agar dimanfaatkan secara lebih selamat dan berfaedah.
Pada masa sama, Majlis Daerah Raub sewajarnya menyusun semula Rancangan Tempatan Daerah dengan memperluaskan zon pembangunan bercampur melibatkan Kampung Sempalit dan kawasan sekitarnya. Pembangunan perumahan dan komersial akan membuka lebih banyak pilihan kediaman untuk pelajar.
Kewujudan UiTM Raub dan LTU sepatutnya menjadi pemangkin limpahan pembangunan setempat. Dengan jarak perjalanan ke Kuala Lumpur yang kini hanya sekitar sejam, kawasan ini berpotensi besar untuk berkembang sebagai pusat pendidikan yang selesa, selamat dan berdaya maju.-UTUSAN
TEROPONG DO RE ME
Setapak,
Kuala Lumpur










