PETALING JAYA: Sebanyak 701 kontena sisa elektronik (e-waste) dikesan cuba diseludup masuk ke negara ini sepanjang tempoh empat tahun lalu, dengan setiap kontena dianggarkan membawa 20 tan metrik e-waste.
Angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan bahan buangan berbahaya itu amat besar dan membimbangkan.
Sindiket penyeludupan menggunakan pelbagai taktik untuk mengaburi pemeriksaan pihak berkuasa, antaranya pengisytiharan palsu barangan, penggunaan maklumat pengimport atau konsaini yang tidak sah, serta menyembunyikan e-waste bersama barangan dagangan lain.
Modus operandi ini menjadikan proses pengesanan awal sukar dilaksanakan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, cabaran utama penguatkuasaan ialah penggunaan modus operandi yang semakin kompleks.
“Justeru, keperluan pemeriksaan teknikal terperinci turut memerlukan kerjasama pelbagai agensi serta kepakaran khusus,” katanya di sini hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan bersepadu yang melibatkan JAS dan agensi berkaitan, sebanyak 428 kontena daripada jumlah yang dikesan telah dipulangkan semula ke negara asal. Tindakan itu selaras dengan obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Basel yang mengawal pergerakan rentas sempadan sisa berbahaya.
“Secara prinsipnya, kerangka perundangan sedia ada adalah mencukupi untuk mengawal selia pengurusan sisa elektronik (e-waste).
“Namun begitu, JAS sentiasa menilai keperluan untuk memperkukuh aspek pelaksanaan, pemantauan dan penguatkuasaan selaras dengan peningkatan jumlah e-waste serta perubahan modus operandi pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Antara langkah penambahbaikan sedang dan akan terus dilaksanakan termasuk pengukuhan kerjasama antara agensi, penggunaan risikan, peningkatan keupayaan teknikal, serta penambahbaikan prosedur kawalan di pintu masuk negara.
Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita RM7.2 juta dan menahan enam individu susulan kemasukan bahan buangan elektronik (e-waste) secara haram ke negara ini. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan tujuh syarikat di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan dipercayai mendalangi aktiviti itu, yang dikesan berlaku sejak lima tahun lalu.
Kelmarin, SPRM turut memaklumkan bahawa dianggarkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena mengandungi e-waste, diseludup masuk melalui pelabuhan utama negara.
Susulan itu, siasatan terhadap premis-premis yang terlibat akan diperhebatkan bagi membendung kegiatan pengimportan sisa elektronik secara haram.
Pada 21 Januari lalu, Utusan Malaysia mengikuti operasi SPRM di Selangor dan mendapati beberapa kilang memproses e-waste dipercayai menyogok pegawai penguat kuasa antara
RM2,000 hingga RM50,000 sebulan untuk terus menjalankan kegiatan mereka. Aktiviti ini dikesan berlangsung selama beberapa tahun walaupun berada dalam pengawasan agensi berkenaan.
SPRM turut mencadangkan pelaksanaan moratorium sementara selama enam bulan bagi menilai semula kemasukan sisa plastik dan e-waste ke negara ini. Tempoh percubaan ini bertujuan meneliti implikasi sebenar terhadap ekonomi, alam sekitar serta keberkesanan sistem penguatkuasaan sedia ada. – UTUSAN










