Sindiket caj RM12,000 keluar pasport palsu

Sindiket caj RM12,000 keluar pasport palsu

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen membongkar satu sindiket pemalsuan pasport dipercayai mengenakan bayaran sebanyak RM12,000 bagi setiap permohonan dokumen perjalanan itu. 

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, perkara itu susulan operasi oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dengan kerjasama Imigresen Johor dan Sabah di dua lokasi berasingan di sekitar Simpang Renggam, Johor dan Kota Kinabalu, Sabah pada 19 dan 21 Januari lalu.

Katanya, tindakan itu adalah hasil risikan terperinci dan pemantauan berterusan selama hampir dua bulan, selaras dengan pendekatan smart enforcement atau penguatkuasaan pintar.

“Pasukan operasi merampas dua naskhah Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) serta dokumen permohonan PMA secara dalam talian yang dipercayai berkaitan secara langsung dengan aktiviti sindiket itu.

“Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket ini adalah dengan menawarkan perkhidmatan pembaharuan PMA secara atas dalam kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara tanpa mematuhi prosedur yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini

Tambahnya, sindiket mempromosikan perkhidmatan mereka melalui media sosial dan pemohon hanya perlu menyerahkan maklumat peribadi serta gambar. 

“Keseluruhan urusan permohonan diuruskan oleh sindiket dengan bayaran sebanyak RM12,000.00 bagi setiap naskhah PMA.

“Pemohon juga tidak perlu hadir ke pejabat Imigresen untuk pengambilan pasport sebalikya PMA yang telah siap akan dipos ke luar negara melalui perkhidmatan kurier kepada ejen di sana,” katanya.

Zakaria berkata, pihaknya sebelum itu telah menahan satu lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kesalahan memberikan perakuan palsu bagi mendapatkan Pasport Malaysia di sebuah premis kediaman sekitar Simpang Renggam.

“Susulan penahanan tersebut, operasi diteruskan ke Kota Kinabalu yang membawa kepada penahanan dua lelaki, masing-masing merupakan Pegawai Imigresen yang dipercayai bertindak sebagai dalang utama dan pemudah cara kepada sindiket berkenaan.

“Tindakan tegas dikenakan terhadap dua pegawai Jabatan Imigresen selepas disyaki terlibat kegiatan sindiket penyalahgunaan kemudahan permohonan Pasport Malaysia secara dalam talian,” katanya

Katanya, sesemua individu yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pasport 1966 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Johor dan Sabah bagi siasatan lanjut.

Dalam perkembangan sama, ujarnya, seorang wanita warga tempatan dan seorang lagi Pegawai Imigresen telah diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

“JIM menegaskan akan terus mempergiatkan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.

“Jabatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa dan tindakan undang-undang akan diambil tanpa pengecualian termasuk terhadap pegawai jabatan sendiri, demi memastikan integriti sistem imigresen dan kepercayaan rakyat terus terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×