Duta Enclave: Keputusan keuntungan Mesne 19 Mei

Duta Enclave: Keputusan keuntungan Mesne 19 Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan berhubung keuntungan Mesne yang perlu dibayar kepada Semantan Estate Sdn. Bhd. (SESB) ditetapkan pada 19 Mei ini di Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan.

Keuntungan Mesne adalah ganti rugi yang perlu dibayar kepada pemilik sah harta oleh seseorang yang mendudukinya tanpa kebenaran.

Pada 7 Ogos 2024, Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh memerintahkan kerajaan memindah milik tanah berkenaan kepada SESB selepas membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan selaku defendan.

Keputusan itu bagaimanapun diketepikan oleh Mahkamah Rayuan pada 25 Jun 2025 yang memutuskan bahawa Duta Enclave kekal menjadi milik Kerajaan dan tidak boleh dipertikaikan namun perlu membayar pampasan dan keuntungan mesne atas pencerobohan sejak 1956 yang dinilai Mahkamah Tinggi berdasarkan nilai tanah pada 3 Disember 1956.

Mahkamah Rayuan seterusnya mengarahkan agar jumlah pampasan yang tepat ditentukan oleh Mahkamah Tinggi. Pendengaran pampasan ini dijadualkan pada April ini di hadapan Hakim Roslan Mat Nor.

Menurut laporan portal berita The Edge, Hakim Ahmad Shahrir menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat.

Prosiding yang bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2022 itu dipindahkan ke Seremban berikutan pertukaran hakim tersebut ke sana pada akhir tahun lalu.

Tanah terbabit yang turut dikenali sebagai Duta Enclave dan terletak di lokasi utama Jalan Duta menempatkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.

SESB memulakan tindakan undang-undang terhadap kerajaan pada 1960 berhubung pampasan RM1.32 juta yang diperoleh hasil daripada pengambilan tanah tersebut untuk dibangunkan bagi penempatan diplomat dan duta.

Pada 2003, syarikat memfailkan saman terhadap kerajaan agar perintah yang diputuskan sebelum ini dikuatkuasakan.

Dalam hujahan peguam Ira Biswas yang mewakili Semantan Estate menyatakan syarikat yang sekarang dalam proses likuidasi layang menerima di antara RM3.1 bilion hingga RM13.1 bilion berbanding anggaran kerajaan adalah sebanyak RM290 juta.

Beliau menghujahkan bahawa kiraan oleh kerajaan adalah cacat kerana mengabaikan realiti pasaran semasa, melakukan kesilapan apabila menilai tanah tersebut sebagai tanah pertanian, sambil mengabaikan pembangunan besar-besaran yang telah berlaku di kawasan itu sepanjang 70 tahun lalu.

Beliau juga menyatakan bahawa semasa pemeriksaan balas, malah saksi penilai kerajaan sendiri mengakui kadar pulangan 2 hingga 3 peratus yang digunakan dalam pengiraan penilai bebas Foo Gee Jen adalah metrik utama dalam menentukan hasil sewaan.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Mohammad Al-Saifi Hashim menghujahkan bahawa kaedah ekstrapolasi yang digunakan oleh kerajaan berbanding kaedah selang lima tahun yang digunakan oleh syarikat itu adalah lebih tepat dan sah kerana ia mengambil kira perubahan tahunan dalam ekonomi.

Kerajaan berhujah bahawa kerana tanah tersebut didaftarkan sebagai ladang getah dan kekal sedemikian, semua pampasan perlu diekstrapolasi daripada garis asas tahun 1956 iaitu RM3,784 seekar.

Tambahnya, penilai kerajaan tidak mempertikaikan kadar pulangan 2 hingga 3 peratus secara teori kerana kaedah selang lima tahun lazimnya berasaskan perjanjian sewaan namun tiada sebarang perjanjian sewaan wujud bagi Duta Enclave. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×