E-waste: SPRM beku 14 akaun syarikat berjumlah RM7.2 juta

E-waste: SPRM beku 14 akaun syarikat berjumlah RM7.2 juta

AZAM Baki (duduk, tengah) bergambar bersama pengamal media semasa menghadiri program Cakna Rasuah SPRM bersama media Zon Timur di Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  membekukan sebanyak 14 akaun syarikat dengan nilai RM7.2 juta ringgit susulan penahanan menahan enam individu berkaitan buangan elektronik atau e-waste ke dalam negara ini.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, semua suspek sedang ditahan reman dan pihaknya dalam proses menahan dua lagi pemilik syarikat yang dijangka dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Setakat ini kita mengesan tujuh syarikat di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan terlibat mendalangi kemasukan e-waste ke dalam negara ini, yang dikesan telah berlaku sejak lima tahun lalu.

“Dalam isu ini kita tidak menyalahkan agensi penguatkuasa kerana mereka yang terlibat sentiasa mencari jalan untuk membawa masuk bahan terlarang ini ke dalam negara,” katanya dalam sidang media selepas Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media, di sini hari ini.

Azam berkata, orang ramai perlu diberi kefahaman bahawa undang-undang negara tidak membenarkan kemasukan e-waste, malah aktiviti ini turut dianggap haram oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, langkah menangani kemasukan e-waste ke dalam negara ini juga tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tetapi menuntut kerjasama pelbagai pihak.

Sementara itu, beliau berkata, empat lagi pegawai integriti ditambah SPRM bagi memantau urusan perolehan tender dan sebut harga Kementerian Pertahanan (Mindef).

Katanya, keputusan itu dilakukan selepas beliau mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Wisma Pertahanan semalam.

Katanya, penambahan empat pegawai selama enam tempoh enam bulan itu dijalankan sebelum 1 Februari ini.

“Ia bertujuan melihat compang-camping dan kelemahan tadbir urus Mindef. Sebelum ini, SPRM sudah menempatkan dua pegawai integriti di Mindef sejak hampir dua tahun lalu. Jadi, kita tempatkan empat lagi pegawai di sana untuk memantau perolehan tender dan sebut harga di kementerian tersebut.

“Pemantauan itu bukan sahaja melibatkan Tentera Darat Malaysia, tetapi ia turut melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia,” katanya. UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×