Perolehan tender tentera darat, dua pegawai bergelar Datuk akan didakwa

Perolehan tender tentera darat, dua pegawai bergelar Datuk akan didakwa

AZAM Baki semasa sidang media selepas Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dua lagi pegawai kanan tentera yang bergelar Datuk akan didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait perolehan tender Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam masa terdekat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pendakwaan dilakukan sebaik sahaja mendapat persetujuan dari Peguam Negara (AG).

Katanya, ketika ini SPRM sedang menunggu maklum balas daripada AG sebelum proses tersebut dijalankan.

“Saya minta AG tolong cepatkan sikit tindakan ini. Ini tanggungjawab saya yang telah dilaksanakan dan tanggungjawab Peguam Negara juga perlu dilaksanakan. 

“Jika tiada pertuduhan, saya mahukan jawapan dengan segera. Saya tidak mahu semua pihak menunggu,” katanya dalam sidang media selepas Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur, di sini hari ini.

 Azam berkata, ketika ini SPRM memberi fokus kepada pegawai peringkat tertinggi dahulu sebelum yang lain.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram melebihi RM2.1 juta.

Beliau merupakan PTD pertama yang didakwa di mahkamah dan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya berkait tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Turut didakwa atas tuduhan serupa di mahkamah berlainan ialah isteri ketiganya, Salwani Anuar @ Kamaruddin.

Di hadapan Hakim Azura Alwi, Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM969,000 yang didepositkan ke dalam akaun Bank Muamalat miliknya di antara 7 Mei dan 25 Jun 2025, di cawangan utama bank itu di Jalan Melaka di sini.

Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, Muhammad Hafizuddeain didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1,153,400 yang didepositkan dalam akaun Maybank miliknya.

Jumlah keseluruhan wang hasil aktiviti haram yang didakwa diterima bekas PTD itu ialah RM2,122,400.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 2 Februari 2024 dan 7 November 2025 di Menara Maybank dan  Maybank cawangan Bukit Damansara di sini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×