PETALING JAYA: Dua pengurusan tinggi syarikat pemaju hartanah, IJM Corporation Berhad (IJM) antara sembilan individu dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, berhubung dakwaan pengubahan wang haram melibatkan nilai kira-kira RM2.5 bilion.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tiada sebarang penahanan dibuat dan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh.
Katanya, kesemua mereka hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 10 pagi.
“Kami telah memanggil mereka dan pihak berkenaan juga sudah menghubungi pegawai kami untuk memaklumkan kehadiran. Saya difahamkan mereka telah pulang dari luar negara.
“Dua pengurusan tertinggi akan hadir hari ini (semalam). Kami akan menemu bual mereka dan meneliti keterangan yang diberikan. Tiada sebarang penahanan dibuat dan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek dan Majlis Perasmian Pusat Latihan Asas (PLA), Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Bandar Enstek, Negeri Sembilan semalam.
Sebelum ini, dilaporkan seorang pengurusan tertinggi syarikat bergelar Tan Sri dan seorang penasihat dikenal pasti sebagai individu berkepentingan dalam kes tersebut.
Terdahulu, Pejabat Penipuan Serius United Kingdom (SFO) mendedahkan, mereka melancarkan siasatan terhadap dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah berkaitan transaksi pelaburan bernilai berbilion ringgit yang didakwa melibatkan kedua-dua individu itu.
Dakwaan itu timbul ketika Sunway Group dikatakan akan mengambil alih IJM menerusi urus niaga bernilai RM11 bilion.
Azam berkata, terlalu awal untuk mengulas berhubung dakwaan salah laku kerana pihaknya memerlukan masa meneliti dokumen berkaitan yang melibatkan entiti korporat.
“Kami memang sedang menjalankan siasatan terhadap beberapa dakwaan yang melibatkan sektor ini. Jika ada elemen kesalahan, siasatan lanjut akan diteruskan.
“Keterangan yang diperoleh setakat ini masih terhad. Kami baru memulakan siasatan semalam (kelmarin), jadi tidak adil untuk mengharapkan ramai individu dipanggil dalam tempoh singkat. Kes sebegini memerlukan masa kerana ia melibatkan urusan korporat,” katanya.
Azam berkata, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau tuduhan memandangkan siasatan masih di peringkat awal.
“Terlalu banyak dakwaan yang tersebar di blog dan pelbagai platform lain, termasuk yang tidak tepat. Saya minta orang ramai memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan,” katanya. – UTUSAN










