PUTRAJAYA: Budaya buli dalam institusi pendidikan perlu diperangi habis-habisan dan tidak boleh dipandang ringan sebagaimana usaha membanteras rasuah dan dadah kerana ia merosakkan nilai, identiti serta budaya pendidikan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tugas mendidik yang dipikul oleh warga pendidikan termasuk kementerian, penjawat awam dan pendidik adalah amanah yang sangat berat kerana ia membentuk manusia, keluarga, masyarakat serta masa depan negara dan kemanusiaan sejagat.
Kata beliau, dalam fahaman agama sendiri, tugas mendidik disifatkan sebagai tugas yang murni, justeru sebarang amalan yang merosakkan nilai terbabit tidak boleh ditolak ansur.
“Sebab itu jangan tolak ansur kepada apa-apa ciri yang merosakkan nilai ini. Budaya buli yang membabitkan segolongan kecil, tapi kadang-kadang diambil ringan oleh para pendidik.
“Kita mesti ada tekad sepertimana kita perangi rasuah, kita perang dengan dadah, kita harus perang dengan amalan buli yang merosakkan identiti dan budaya itu sendiri,” katanya pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di sini, hari ini.
Anwar menegaskan, sebarang amalan kemalasan dan kerosakan perlu dibanteras kerana matlamat utama pendidikan adalah membentuk insan yang berakhlak dan bernilai.
“Yang kita mahu didik itu manusia. Manusia itu dibezakan dengan haiwan kerana nilainya. Dia boleh jadi yang diangkat sebagai manusia yang terbaik, Allah jadikan manusia sebagai sebaik-baik insan, ataupun pilih untuk menjadi sehina-hina makhluk,” katanya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, nilai kemanusiaan perlu menjadi teras utama dalam sistem pendidikan negara, dengan pembabitan menyeluruh semua pihak termasuk pelajar, mahasiswa, guru, pensyarah serta pimpinan pendidikan.
“Kita harus gerakkan seluruh tenaga kita supaya tumpu ke arah melonjakkan peribadi diri, nilai, teknologi dan semua bidang yang diperlukan dan dituntut mengikut keupayaan masing-masing,” katanya. – UTUSAN










