SEMALAM Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Di peringkat pendidikan tinggi, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 memperlihatkan peralihan paradigma yang ketara dalam cara negara memahami peranan dan tujuan pendidikan tinggi berbanding Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (Pendidikan Tinggi) 2015–2025.
Jika PPPM (PT) 2015–2025 disusun sebagai pelan transformasi sektor pendidikan tinggi dijajar dengan pelan pendidikan sekolah, namun RPTM 2026–2035 pula meletakkan pendidikan tinggi secara rasmi dalam seni bina dasar nasional yang bersepadu di bawah RPN 2026–2035 yang turut merangkumi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035.
Peralihan ini menandakan pendidikan tinggi tidak lagi berfungsi sebagai sektor yang bergerak selari tetapi terpisah, sebaliknya menjadi kesinambungan langsung pembangunan modal insan daripada peringkat sekolah hingga universiti dalam satu ekosistem nasional yang berterusan dan saling melengkapi.
Pendekatan ini merupakan manifestasi yang jelas dan terancang terhadap hasrat Perdana Menteri agar sistem pendidikan negara dibangunkan sebagai entiti yang benar-benar lancar, yang mana setiap peringkat pendidikan saling menyokong antara satu sama lain dan tidak lagi bergerak secara terasing atau bersifat silo.
Secara perbandingannya, dari sudut matlamat teras, PPPM (PT) 2015–2025 banyak digerakkan lima aspirasi sistem iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan, dengan penekanan yang jelas terhadap kebolehpasaran graduan, peningkatan ranking universiti, output penyelidikan dan kecekapan institusi.
Pendekatan ini relevan pada fasa ketika Malaysia berusaha memperkukuh daya saing global dan membina asas sebagai negara berpendapatan tinggi.
Namun, RPTM 2026–2035 melangkah lebih jauh dengan menetapkan aspirasi yang lebih bersifat normatif dan tamaduni, iaitu melahirkan ‘pembina negara’ yang berpaksikan kemanusiaan dan dipacu oleh matlamat yang bermakna demi masa hadapan yang harmoni, makmur, maju dan mampan.
Dalam konteks ini, pendidikan tinggi tidak lagi ditafsir semata-mata sebagai alat penyedia tenaga kerja tetapi sebagai instrumen pembinaan nilai, kepimpinan dan hala tuju negara.
Perbezaan ini turut terserlah dalam falsafah dasar yang mendasari kedua-dua pelan. PPPM (PT) bersifat sangat sistematik dan berorientasikan ‘outcome’, dengan penggunaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) , kontrak prestasi dan ranking antarabangsa sebagai penanda aras utama, walaupun disertai kesedaran ranking bukan ukuran muktamad kualiti pendidikan.
Bahasa dasar PPPM (PT) kuat berlegar pada reform institusi, produktiviti, autonomi, pembiayaan dan hubungan industri.

RPTM 2026–2035 pula menambah satu lapisan penting dengan meletakkan nilai teras seperti kemanusiaan, kesejahteraan holistik, kemakmuran bersama dan kemampanan generasi sebagai kompas dasar pendidikan tinggi.
Pendekatan ini mengurangkan risiko pendidikan tinggi terjerumus menjadi projek ekonomi semata-mata dan sebaliknya menegaskan peranannya dalam membentuk masyarakat beradab dan berdaya tahan.
Dari segi pengurusan perubahan, PPPM (PT) dirangka sebagai pelan jangka panjang dengan pelaksanaan berfasa yang jelas sepanjang tempoh 2015 hingga 2025. Walaupun semakan boleh dibuat, struktur asasnya kekal sebagai pelan tempoh tetap.
RPTM 2026–2035 memperkenalkan pendekatan baharu dengan mengangkat dirinya sebagai ‘dokumen hidup’ yang boleh disemak dan dilaras secara berterusan. Ciri ini membolehkan dasar pendidikan tinggi bertindak balas dengan lebih pantas terhadap kemunculan teknologi baharu, perkembangan kecerdasan buatan (AI), perubahan geopolitik, krisis iklim dan ketidaktentuan dunia pasca-normal yang sukar diramal dalam kerangka perancangan statik.
Perbezaan ketara turut dapat dilihat dalam pendekatan terhadap teknologi dan digital. Dalam PPPM (PT), teknologi disruptif seperti automasi, internet kebendaan, e-pembelajaran diiktiraf sebagai pemboleh penting untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran dan akses.
Namun dalam RPTM 2026–2035, AI diangkat sebagai pemboleh daya strategik teras yang membentuk reka bentuk kurikulum, penyelidikan dan inovasi. Sasaran yang jelas ialah melahirkan pencipta teknologi masa hadapan, bukan sekadar pengguna pasif yang sentiasa mengejar perubahan teknologi global.
Aspek keterangkuman dan mobiliti sosial juga diperkukuh dalam RPTM 2026–2035. PPPM (PT) meletakkan komitmen yang jelas terhadap prinsip ekuiti, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah, walaupun mengakui kekangan data dan cabaran pelaksanaan.
RPTM 2026–2035 melangkah setapak ke hadapan dengan mengikat keterangkuman kepada mekanisme yang lebih operasional, termasuk peluasan laluan kemasukan fleksibel seperti bagi lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan matrikulasi, sekali gus menterjemahkan prinsip keadilan akses kepada tindakan dasar yang lebih nyata.
Dalam soal Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), PPPM (PT) memulakan usaha penting untuk menjenamakan semula TVET sebagai laluan pilihan, mengharmonikan rangka kelayakan dan memperkukuh penglibatan industri.
RPTM 2026–2035 pula menaikkan kedudukan TVET dengan menegaskan kompetensi TVET termaju dan integrasinya dengan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) sebagai nadi daya saing masa hadapan negara, khususnya dalam konteks ekonomi digital dan peralihan kepada ekonomi hijau.
Pendekatan pembiayaan pendidikan tinggi juga menunjukkan evolusi signifikan. PPPM (PT) memberi tumpuan besar kepada pengurangan kebergantungan kepada dana kerajaan melalui formula pendanaan baharu, endowmen, wakaf dan transformasi PTPTN.
RPTM 2026–2035 mengekalkan agenda ini tetapi meletakkan kemampanan kewangan sebagai lonjakan strategik utama yang digandingkan dengan tadbir urus tangkas, keberkesanan penyampaian dan kelestarian jangka panjang, menjadikan isu kewangan sebahagian daripada reform ekosistem yang menyeluruh.
Dari segi tadbir urus dan penyampaian, PPPM (PT) menekankan autonomi institut pendidikan tinggi (IPT), pengharmonian kawalselia, pengurangan birokrasi dan peranan baharu kementerian sebagai pembuat dasar dan pengawal selia.
RPTM 2026–2035 meluaskan kerangka ini dengan menambah penekanan khusus kepada tadbir urus yang tangkas dan berdaya tahan serta penyampaian yang responsif dan dinamik, sejajar tuntutan dunia pasca-normal yang memerlukan keupayaan bertindak balas pantas dan berkesan.
Akhirnya, dari sudut orientasi global, PPPM (PT) jelas menggunakan ranking antarabangsa dan peningkatan pelajar antarabangsa sebagai kayu ukur kemajuan, sambil mengakui keterbatasan pendekatan tersebut. -UTUSAN
PROFESOR Dr. Ahmad Martadha Mohamed ialah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).










