KUALA LUMPUR: Sistem Purata Nilai Gred Karakter (i-CGPA) 2.0 akan diperkenalkan semula sebagai usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menilai perkembangan pelajar secara lebih menyeluruh di institusi pengajian tinggi negara.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, I-CGPA 2.0 tidak lagi tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya merangkumi penilaian kemahiran insaniah, etika serta nilai diri bagi melahirkan graduan yang seimbang, berintegriti dan berdaya saing.
Katanya, KPT menyasarkan pelaksanaan sistem itu di seluruh Universiti Awam (UA) dengan penggunaan sepenuhnya menjelang tahun 2028.
“Pada ketika ini, penilaian Indeks Kesejahteraan Mahasiswa dilaksanakan secara berstruktur dan berterusan oleh Universiti Awam melalui mekanisme penilaian institusi yang ditadbir selaras dengan kerangka tadbir urus masing-masing.
“Sebagai contoh, Student WellBeing Index (StiDEX) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang memperincikan 5 Komposit, 17 elemen, 43 Indikator dan 63 Item secara bersepadu sebagai indikator numerik kepada aspek kebajikan dan sahsiah pelajar.
“Selain itu, ADAB (Aspire, Dynamic, Agile, Balanced) pula diadaptasikan di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memandu pelajar memenuhi setiap kluster DNA yang ditetapkan dalam aktiviti yang disertai sekaligus memacu pelajar ke arah kehidupan yang lebih sejahtera di dalam dan luar kampus.
“Manakala, Model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA) dilaksanakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berfokus kepada pembangunan pelajar yang sejahtera,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam aspek kesihatan mental pula, Adam Adli berkata, pengukuran dilaksanakan secara menyeluruh melalui Inventori Kesejahteraan Psikologi (IKPSI) sebagai instrumen teras.
“Seiring dengan itu, pusat-pusat kaunseling di Universiti Awam sentiasa memperkukuh pemantauan tahap kesihatan mental dan kesejahteraan emosi pelajar secara berkala dan sistematik melalui penggunaan instrumen penilaian yang digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa seperti DASS21 (Depression, Anxiety and Stress Scales) serta profil psikometri,” katanya. – UTUSAN










