Jumlah penumpang Rapid On-Demand cecah lebih 19,000

Jumlah penumpang Rapid On-Demand cecah lebih 19,000

SHARUL Azwa (hujung kanan) bergambar bersama van Rapid On-Demand (ROD) kendalian Prasarana Malaysia Berhad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perkhidmatan Rapid On-Demand (ROD) kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) terus mencatat pertumbuhan positif apabila jumlah penumpang mencecah lebih 19,000 orang pada hujung tahun 2025.

Ketua Strategi dan Perancangan Prasarana Malaysia Berhad, Sharul Azwa Abd Rani berkata, sambutan terhadap perkhidmatan berkenaan semakin memberangsangkan selari dengan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap keperluan mobiliti setempat.

Katanya, prestasi itu mencerminkan penerimaan yang semakin menggalakkan terhadap perkhidmatan mobiliti berasaskan permintaan yang fleksibel dan mesra pengguna.

“Kini, sebanyak 301 buah van Rapid On-Demand beroperasi di 82 zon perkhidmatan di Lembah Klang dan Pulau Pinang.

“Perkhidmatan ini berperanan menghubungkan komuniti setempat dengan rangkaian rel dan bas sedia ada, khususnya di kawasan yang tidak diliputi laluan bas tetap atau mempunyai permintaan perjalanan yang lebih bersasar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Rapid Bus turut melaksanakan penambahbaikan terhadap aplikasi Rapid On-Demand yang berfungsi sebagai platform tempahan tunggal sejak 15 November lalu.

Menurutnya, penambahbaikan itu merangkumi aspek kestabilan sistem, paparan maklumat perjalanan yang lebih jelas serta pengurusan masa menunggu yang lebih konsisten berdasarkan maklum balas pengguna sepanjang tempoh pelaksanaan.

“Usaha ini bertujuan memastikan pengalaman pengguna yang lebih lancar dan boleh dijangka, selari dengan peranan Rapid On-Demand sebagai perkhidmatan pelengkap batuan pertama dan akhir (first and last mile) yang praktikal serta mudah diakses,” katanya.

Dalam pada itu, Sharul Azwa berkata, sebagai sebahagian daripada peralihan perkhidmatan Rapid On-Demand ke fasa operasi yang lebih stabil dan mampan, tempoh tambang promosi yang diperkenalkan sejak Fasa Bukti Konsep (Proof of Concept – POC) pada tahun 2023 akan berakhir pada 31 Januari 2026.

Katanya, mulai 1 Februari 2026, perkhidmatan Rapid On-Demand akan beroperasi dengan kadar tambang tetap RM2 bagi setiap perjalanan.

Selaras dengan penyelarasan itu, pemegang pas My50, Rapid Kota, Rapid Kembara dan Rapid Keluarga juga perlu membayar tambang berkenaan bagi setiap perjalanan.

“Berbeza dengan perkhidmatan tren dan bas henti-henti yang beroperasi mengikut jadual serta laluan tetap, Rapid On-Demand merupakan perkhidmatan yang bersifat unik dengan zon perkhidmatan yang lebih dinamik serta hentian maya yang boleh disesuaikan mengikut keperluan operasi.

“Kadar operasi sebenar ini penting bagi menyokong kesinambungan perkhidmatan serta membolehkan penambahbaikan berterusan dilaksanakan demi pengalaman pengguna yang lebih baik,” katanya.

Bagi perkhidmatan Rapid KL On-Demand di Lembah Klang, pemegang Kad Konsesi Rapid Pelajar dan Rapid Emas akan terus menikmati diskaun 50 peratus, manakala pemegang Kad Konsesi Rapid Mesra (OKU) kekal menikmati perjalanan percuma.

Sementara itu, bagi perkhidmatan Rapid Penang On-Demand, pemegang Pas Mutiara akan terus menikmati perjalanan percuma. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×