PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mencatatkan rekod jumlah perjalanan penumpang harian tertinggi dalam sejarah penubuhannya iaitu sebanyak 1.63 juta penumpang tahun lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, pencapaian tersebut dipacu oleh kebolehpercayaan operasi perkhidmatan rel dan bas yang semakin kukuh dan konsisten, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna terhadap pengangkutan awam.
“Purata jumlah perjalanan penumpang harian sepanjang 2025 turut mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 11 peratus kepada 1.31 juta berbanding 1.18 juta pada tahun sebelumnya.
“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan usaha berterusan Prasarana dalam memastikan kebolehpercayaan operasi rel dan bas berada pada tahap yang tinggi,” katanya.
Anthony Loke ditemui ketika sesi pembentangan laporan prestasi 2025 dan pelan 2026 Prasarana yang turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Amir Hamdan.
Dalam pada itu, Amir Hamdan berkata, Prasarana berjaya mengurangkan jumlah gangguan perkhidmatan rel kepada hanya 31 gangguan pada 2025 berbanding 71 gangguan pada 2024 dengan penambahbaikan 56 peratus.
“Prestasi memberangsangkan itu merupakan hasil inisiatif yang digerakkan sejak 2021. Ini termasuk penyelenggaraan aset yang lebih sistematik dan proaktif serta pengukuhan kecekapan operasi
“Malah, Prasarana berjasa menambahbaik ketepatan masa perkhidmatan bagi memastikan perjalanan penumpang lebih lancar dan terancang,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Amir Hamdan berkata tahap ketersediaan perkhidmatan (LOS) Rapid Bus meningkat kepada 1,355 buah pada 2025 berbanding 1,165 buah pada tahun sebelumnya, termasuk perkhidmatan Rapid On-Demand (ROD) yang telah dipertingkatkan.
“Usaha pemodenan armada bas sedang giat dilaksanakan dengan perolehan 310 bas diesel baharu yang diterima secara berperingkat sejak tahun lalu dan dijangka lengkap sepenuhnya menjelang Februari 2026.
“Sebanyak 250 bas elektrik fasa pertama disasarkan untuk penghantaran awal pada Mac 2026, dengan keseluruhan perolehan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac 2027.
“Dari segi kemudahan, Prasarana telah menyiapkan pembinaan 301 hentian bas dan 16 laluan pejalan kaki, manakala 43 hentian bas serta 17 laluan pejalan kaki masih dalam pembinaan bagi meningkatkan akses, keselesaan dan pengalaman pengguna,” katanya.
Tambahnya, pendigitalan Pas Bulanan My50 atau Digital Transit Pass (DTP) yang dilancarkan pada 1 Julai 2025 menerima sambutan memberangsangkan apabila kadar penggunaan mencapai 37 peratus pada Disember 2025 daripada keseluruhan 254,329 pengguna pas bulanan.
“Bagi tempoh Julai hingga Disember 2025, sebanyak 556,618 pas Digital My50 dibeli secara kumulatif, sekali gus menunjukkan keyakinan pengguna yang semakin meningkat terhadap sistem pentiketan digital.
“Versi baharu aplikasi perancangan perjalanan MyRapid PULSE telah diperkenalkan pada 1 Mei 2025 dengan fungsi yang lebih mesra pengguna.
“Aplikasi tersebut menawarkan ciri Jelajah Bandar yang membantu pengguna mengenal pasti lokasi menarik di sekitar Lembah Klang termasuk mercu tanda pelancongan dan pusat tumpuan awam.
“Sehingga kini, MyRapid PULSE telah dimuat turun sebanyak 240,000 kali dengan 96,000 pengguna aktif, manakala 34,426 pengguna aktif mingguan menggunakan fungsi penjejakan bas masa nyata bagi mengurus perjalanan harian dengan lebih berkesan,” kongsinya.
Mengulas hala tuju 2026, Amir Hamdan berkata Prasarana akan terus memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih konsisten, selamat dan mesra pengguna melibatkan operasi rel dan bas di bawah jenama Rapid KL dan Rapid Penang.
“Pengangkutan awam kekal sebagai pilihan utama rakyat kerana menjimatkan masa perjalanan dan mengurangkan kos perbelanjaan harian, disokong oleh kesinambungan subsidi pas perjalanan tanpa had My50 menerusi Belanjawan 2026.
“Purata pengguna pas My50 ketika ini adalah sekitar 260,000 orang sebulan, dengan pengguna hanya membayar RM50 sebulan manakala baki RM100 ditanggung kerajaan sebagai subsidi,” ujarnya.
Amir Hamdan berkata, kecekapan operasi bas dan rel akan terus menjadi keutamaan bagi menjamin keselamatan serta keselesaan pengguna yang semakin meningkat.
“Dua lorong bas baharu akan diperkenalkan di Jalan Ipoh dan Jalan Gombak bermula suku ketiga 2026, manakala lorong bas sedia ada di Jalan Ampang akan dijadikan secara kekal bagi meningkatkan kelancaran perjalanan.
“Peruntukan RM5 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) disediakan bagi pembinaan 250 hentian bas baharu melibatkan 200 di Lembah Klang dan 50 di Pulau Pinang.
“Kerajaan juga memperuntukkan RM1 bilion menerusi Belanjawan 2026 bagi penggantian 26 unit tren LRT baharu di Laluan Kelana Jaya, dengan set tren pertama dijangka diterima pada September 2028,” katanya. – UTUSAN










