Ugutan tarif Trump terhadap EU runtuhkan hubungan transatlantik

Ugutan tarif Trump terhadap EU runtuhkan hubungan transatlantik

GOLONGAN muda Greenland memegang sepanduk ketika menyertai demonstrasi mengecam usaha pengambilalihan wilayah itu oleh Trump berhampiran  Konsulat AS di Nuuk.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) mengecam tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengenakan tarif tambahan terhadap beberapa negara blok itu yang mempertahankan kedaulatan Greenland, memberi amaran keruntuhan hubungan transatlantik dan kemakmuran bersama yang sudah dikecapi sekian lama.

Perkara itu ditegaskan Presiden Suruhanjaya Eropah (EC), Ursula von der Leyen dan Presiden Majlis EU, Antonio Costa dalam catatan masing-masing di laman X.

“Tarif ini akan menjejaskan hubungan transatlantik dan berisiko mencetuskan gelombang ketegangan. 

“Eropah akan terus bersatu, sehaluan dan komited menegakkan kedaulatannya,” kata mereka.

Diplomat kanan blok itu, Kaja Kallas berkata, tarif akan menjejaskan kemakmuran di kedua-dua belah Atlantik, sambil mengalih perhatian EU daripada tugas utama iaitu mengakhiri perang Russia di Ukraine.

“China dan Russia pastinya gembira. Mereka yang mendapat manfaat daripada perpecahan antara sekutu ini.

“Tarif berisiko menjadikan Eropah dan AS lebih miskin serta menjejaskan kemakmuran bersama. 

“Jika keselamatan Greenland terancam, kita boleh menanganinya melalui Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO),” jelasnya.

Duta-duta dari 27 negara EU mengadakan mesyuarat kecemasan pada hari Ahad untuk membincangkan tindak balas mereka terhadap ancaman tarif tersebut.

Trump pada Sabtu berikrar meningkatkan tarif import terhadap sekutu Eropah sehingga AS dibenarkan membeli Greenland, sekali gus meningkatkan ketegangan mengenai masa depan pulau Artik milik Denmark itu.

Menerusi hantaran di Truth Social, Trump berkata tarif import tambahan sebanyak 10 peratus akan berkuat kuasa mulai 1 Februari ke atas barangan dari Denmark, Norway, Sweden, Perancis, Jerman, Belanda, Finland dan Great Britain, kesemuanya negara yang sudah tertakluk kepada tarif dikenakan sebelum ini.

Menurut Trump, kadar tarif itu akan dinaikkan kepada 25 peratus mulai 1 Jun dan akan diteruskan sehingga satu perjanjian dicapai bagi membolehkan AS membeli Greenland.

Trump berulang kali menegaskan beliau tidak akan berkompromi selain memiliki Greenland sepenuhnya, walaupun wilayah autonomi Denmark itu dengan tegas menyatakan pulau berkenaan bukan untuk dijual dan tidak berhasrat menjadi sebahagian daripada AS.

Tinjauan Reuters/Ipsos ke atas penduduk AS minggu ini mendapati kurang daripada satu daripada lima responden menyokong idea memperoleh Greenland.

Trump turut menegaskan Greenland penting kepada keselamatan negaranya berikutan kedudukan strategik serta kekayaan sumber mineral, dan tidak menolak kemungkinan penggunaan kekerasan untuk mengambil alih pulau tersebut. 

Susulan itu, beberapa negara Eropah minggu ini menghantar anggota tentera ke Greenland atas permintaan Denmark.

PROTES DI GREENLAND

Ribuan penunjuk perasaan di Denmark dan Greenland mengadakan demonstrasi semalam bagi menentang tuntutan Trump supaya pulau Artik itu diserahkan kepada AS dan menyeru agar penduduk dan pentadbirnya diberi hak menentukan masa depan sendiri.

Di Copenhagen, para penunjuk perasaan melaungkan slogan ‘Greenland bukan untuk dijual’ sambil memegang sepanduk seperti ‘Fahami maksud tidak’ dan “Jangan sentuh Greenland’, serta mengibarkan bendera merah-putih wilayah itu ketika mereka berarak ke kedutaan AS.

Sebahagian daripada mereka memakai topi besbol merah menyerupai topi ‘Make America Great Again penyokong Trump, tetapi dengan slogan ‘Make America Go Away’.

Di Nuuk, ibu negara Greenland, ribuan orang yang diketuai Perdana Menteri, Jens-Frederik Nielsen membawa bendera dan sepanduk serupa ketika menuju ke konsulat AS sambil melaungkan ‘Kalaallit Nunaat’, nama pulau itu dalam bahasa Greenland.

“Saya datang hari ini kerana penting untuk menunjukkan Greenland bukan untuk dijual. Ia bukan mainan. Ini rumah kami,” kata seorang penjawat awam dan penduduk, Naja Holm.

Penganjur menganggarkan lebih 20,000 orang menghadiri protes di Copenhagen, bersamaan dengan jumlah penduduk seluruh Nuuk. Pihak polis tidak memberikan angka rasmi dan demonstrasi lain turut diadakan di seluruh Denmark.

“Saya sangat berterima kasih atas sokongan besar yang kami terima sebagai rakyat Greenland. Kami juga menyampaikan mesej kepada dunia supaya semua orang sedar,” kata Pengerusi Uagut, Julie Rademacher yang mengetuai sebuah pertubuhan untuk rakyat Greenland di Denmark.

Wilayah dengan 57,000 penduduk itu diperintah dari Copenhagen selama berabad-abad dan menikmati tahap autonomi yang signifikan sejak 1979.

Menurut pihak berkuasa Copenhagen, kira-kira 17,000 rakyat Greenland kini menetap di Denmark.

Semua parti di Parlimen Greenland pada dasarnya menyokong kemerdekaan namun menegaskan mahu kekal sebagai sebahagian daripada Denmark dan menolak bergabung dengan AS.

Hanya 17 peratus rakyat AS menyokong usaha Trump untuk memperoleh Greenland dan majoriti besar pengundi Demokrat dan Republikan menentang penggunaan kekuatan tentera untuk merampas pulau itu, menurut tinjauan Reuters/Ipsos. Trump bagaimanapun menamakan tinjauan itu sebagai palsu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×