TEHERAN: Pemimpin tertinggi Iran buat pertama kali secara terbuka mengakui ribuan orang terbunuh dalam gelombang protes terbaharu yang melanda negara itu.
Dalam ucapannya, Ayatollah Ali Khamenei berkata, ribuan individu terkorban, sebahagiannya dengan cara tidak berperikemanusiaan dan kejam sambil menyalahkan Amerika Syarikat (AS) atas kematian berkenaan.
“Mereka yang mempunyai kaitan dengan Israel dan AS telah menyebabkan kerosakan besar serta membunuh beberapa ribu orang.
“Kami menganggap Presiden AS sebagai penjenayah atas korban jiwa, kemusnahan dan fitnah yang dilemparkan ke atas bangsa Iran,” katanya lagi.
Beliau turut menyifatkan Trump sebagai penjenayah dan menegaskan AS perlu dipertanggungjawabkan atas kekacauan itu.
Tindakan keras pihak berkuasa terhadap rusuhan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 3,090 nyawa, menurut Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia Iran (HRANA) yang berpangkalan di AS, manakala beberapa kumpulan aktivis meletakkan angka korban jauh lebih tinggi.
Sekatan internet yang hampir menyeluruh menyukarkan pengesahan maklumat tepat mengenai situasi sebenar.
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini menggesa penunjuk perasaan Iran supaya terus melakukan bantahan dan mengancam campur tangan ketenteraan sekiranya pasukan keselamatan membunuh mereka.
Protes yang bermula pada 28 Disember lalu akibat tekanan ekonomi itu kemudiannya berkembang menjadi tuntutan agar pemerintahan pemimpin tertinggi Iran ditamatkan.
Kerajaan Iran menyifatkan demonstrasi berkenaan sebagai rusuhan yang didalangi musuh-musuh negara itu.
Para penunjuk perasaan berdepan tindakan keras dengan rakaman video menunjukkan pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan, yang disahkan oleh BBC Persian dan BBC Verify.
Iran turut melaksanakan penutupan hampir sepenuhnya perkhidmatan internet dan komunikasi. Pada Sabtu, tahap sambungan internet negara itu kekal sekitar dua peratus daripada paras biasa, menurut pemantau siber NetBlocks.
Walaupun laporan mengenai rusuhan berkurangan sejak beberapa hari lalu, perkembangan sebenar di lapangan masih tidak jelas berikutan sekatan akses internet yang berterusan.
Seorang wanita di Shiraz, di barat daya Iran, memberitahu BBC Persian pasukan keselamatan masih meronda dengan motosikal untuk mengawal keadaan, namun secara keseluruhan keadaan sudah kembali normal.
Jabatan Negara AS pada Sabtu berkata pihaknya menerima laporan bahawa Iran sedang menyediakan pilihan untuk menyasarkan pangkalan tentera AS dan AS tidak menolak kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap negara itu. -BBC










