KUALA LUMPUR: Konsep penyatuan bangsa di bawah Rumah Bangsa UMNO bukan ancaman kepada kaum lain sebaliknya menjadi asas kestabilan dan keharmonian negara.
Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penubuhannya perlu dilihat dalam konteks pembinaan negara bangsa inklusif, berteraskan kekuatan penyatuan orang Melayu tanpa meminggirkan kaum lain.
“Orang Melayu berada dalam rumah bangsa itu dan kaum-kaum lain seperti Cina, India serta masyarakat Sabah dan Sarawak turut bersama-sama berada di bawah rumah yang sama.
“Kalau penyatuan Melayu kukuh di bawah rumah bangsa, kaum-kaum lain juga boleh hidup bersama. Itu realiti dibuktikan sepanjang UMNO memerintah negara ini selama 60 tahun.
“UMNO tidak pernah meminggirkan kaum lain. Sejarah membuktikan perkara itu,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Mahdzir berkata, penerimaan semula pemimpin lama yang pernah meninggalkan parti tidak seharusnya dilihat sebagai kelemahan UMNO.










