GAZA: Israel didakwa mengalihkan bongkah-bongkah konkrit yang menandakan garis kawalan pasca-gencatan senjata lebih jauh ke dalam Gaza di beberapa lokasi, sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penduduk Palestin.
Imej satelit yang diteliti oleh BBC Verify menunjukkan di sekurang-kurangnya tiga kawasan, Israel meletakkan bongkah konkrit tersebut sebelum kembali semula dan mengalihkannya lebih jauh ke dalam wilayah Gaza.
Di bawah terma perjanjian yang diusahakan oleh Amerika Syarikat (AS) dengan Hamas, Israel bersetuju untuk mengundurkan tenteranya ke luar satu garisan yang ditandakan dengan warna kuning pada peta ketenteraan rejim itu dan ditunjukkan di lapangan melalui bongkah konkrit berwarna kuning.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz memberi amaran pada Oktober lalu, sesiapa yang melintasi garisan kuning tersebut akan ditembak.
Di Beit Lahia, Jabalia dan al-Tuffah, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) meletakkan bongkah-bongkah tersebut sebelum kembali dan mengalihkan 16 bongkah garisan kuning lebih jauh ke dalam Gaza.
Kedudukan penanda itu dialihkan secara purata sejauh 295 meter ke dalam wilayah Gaza.
Selain bongkah yang dipindahkan, BBC Verify turut memetakan 205 penanda lain. Lebih separuh daripadanya diletakkan dengan ketara lebih jauh ke dalam Gaza berbanding garisan yang ditandakan pada peta.
Bongkah penanda garisan kuning bagaimanapun dilihat tidak dipasang di kawasan sepanjang kira-kira 10 kilometer di Gaza, menyebabkan sebahagian penduduk sukar untuk mengetahui di mana bermulanya kawasan yang digelar IDF sebagai zon pertempuran berbahaya.
Bulan lalu, seorang lelaki berusia 23 tahun berhampiran Khan Younis berkata, tentera Israel secara tiba-tiba mengalihkan bongkah berhampirannya melepasi garisan yang dipetakan, menyebabkan beliau berasa ‘terperangkap’.
“Kami kini tinggal di dalam garisan kuning, tetapi di belakang bongkah kuning, tanpa mengetahui apa yang akan berlaku kepada kami.
“Suasana pada waktu malam amat menakutkan. Kami mendengar letupan peluru, pergerakan tentera, tembakan dan bunyi dron berdengung tanpa henti. Kami juga ditembak secara langsung,” katanya.
Pakar Keselamatan Asia Barat King’s College London, Profesor Andreas Krieg menyifatkan pergerakan bongkah tersebut sebagai satu ‘alat kejuruteraan wilayah’.
“Dengan mengekalkan garisan undang-undang pada peta dan bongkah fizikal yang terletak ratusan meter berjauhan, Israel mengekalkan keupayaan untuk mengubah di mana penduduk Gaza boleh tinggal, bergerak dan bercucuk tanam tanpa pernah mengumumkan secara rasmi perubahan sempadan,” katanya.-AGENSI











