Gaya Qipao mewah yang selesa

Gaya Qipao mewah yang selesa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA satu perkara yang wanita Malaysia benar-benar faham iaitu baju cantik dalam gambar belum tentu selesa dipakai seharian.

Lebih-lebih lagi waktu Tahun Baru Cina, apabila kita bergerak dari satu rumah ke rumah lain, duduk lama berbual, bangun masuk dapur, keluar masuk kereta.

Inilah sebab koleksi Bloom of Blessings sempena Tahun Baharu Cina 2026 oleh Khoon Hooi begitu menepati citarasa. Tidak hanya memancarkan kemewahan, ia juga praktikal dan selesa dipakai sepanjang hari.

Siluet Qipao yang diinspirasikan semula terasa lebih relaks dan menyesuaikan diri dengan tubuh sebenar wanita, bukannya ‘tubuh ideal’ yang sering ditonjolkan di iklan.

Tidak keras, tidak kaku, dan tidak memaksa. Fabriknya jatuh cantik, mudah bergerak, mudah bernafas dan paling penting, baju yang boleh dipakai dari rumah ke rumah, duduk lama makan, ketawa, bangun semula tanpa rasa rimas. Cantik yang praktikal, dengan aura tersendiri.

Siluet, gaya sesuai semua bentuk tubuh

Koleksi ini banyak bermain dengan potongan lurus, bias-cut, dan layering ringan.

Petite: Dress lurus dengan potongan bawah lutut membantu kaki kelihatan lebih panjang tanpa perlu kasut tinggi. Kasut bertumit rendah atau kitten heels cukup untuk struktur sambil kekal selesa. Beg kecil atau aksesori berwarna kontras memberi fokus tanpa menenggelamkan tubuh.

Tinggi atau ingin anggun: Qipao bercorak besar dengan potongan kemas memberi siluet panjang dan tersusun. Padankan dengan kasut bertutup di hadapan dan tumit sederhana supaya gaya seimbang iaitu tidak terlalu formal, tidak terlalu santai.

Bentuk pear: Top berwarna cerah dipadankan dengan skirt atau seluar ringkas adalah pilihan selamat. Fokus pada bahagian atas menyeimbangkan pinggul, manakala potongan bawah lurus memberi ilusi lebih panjang. Warna senada dari atas ke bawah membantu tubuh kelihatan ramping.

Tubuh curvy: Rekaan samfu moden sangat mesra bentuk badan. Potongannya longgar tetapi berstruktur, tidak melekat, tidak menghukum. Dipadankan dengan seluar gelap atau denim, ia tetap kemas tanpa nampak terlalu cuba. Sedikit pendedahan di pergelangan tangan atau leher meringankan keseluruhan look.

Perincian memikat

Perincian Qipao dalam koleksi ini memang memikat. Broked, satin jacquard, dan floral sequin digabungkan dengan sulaman tangan, kristal, dan mutiara secara sederhana.

Bukan kilauan yang minta perhatian, tetapi sentuhan yang membuat si pemakai rasa istimewa buat diri sendiri dulu, bukan untuk kamera.

Sentuhan pereka tersohor Khoon Hooi masih jelas, terutama pada ketelitian potongan dan cara koleksi ini bergerak ke hadapan tanpa melupakan akar. Ia tidak cuba terlalu muda, dan tidak terperangkap dalam nostalgia. Ia selesa dengan siapa dirinya dan ia satu keyakinan yang patut diraikan.

Lebih dari koleksi perayaan

Bloom of Blessings bukan sekadar koleksi untuk perayaan. Ia tentang rasa cukup, berdamai dengan diri sendiri, dan memasuki tahun baharu tanpa perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa.

Dalam dunia yang sering menuntut wanita menjadi lebih kuat, lebih cantik, lebih sempurna, koleksi ini membawa mesej yang lebih tenang dan jujur.

Kadang-kadang, berdiri sebagai diri sendiri pun sudah cukup berani. Dan itu, sebenarnya, adalah gaya paling berharga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN