BESUT: Tindakan licik seorang warga Pakistan cuba menyeludup rokok tidak bercukai gagal apabila dia ditahan dalam satu serbuan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara, di sini, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, penahan lelaki berusia 34 tahun itu dibuat menerusi Op Taring Alpha 1 kira-kira pukul 5.30 pagi di kawasan Jeti Kuala Besut yang sedang memandu dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit menemukan muatan kotak-kotak coklat bertulisan ‘Saat’ disyaki sebagai rokok seludup berjumlah RM90,000. Turut dirampas sebuah kereta jenis Honda City dan rantai kunci dengan jumlah keseluruhan rampasan RM110,010.
“Serbuan pertama itu membawa kepada penemuan premis kedai runcit di jalan Gertak Seratus, Kampung Alor Peroi. Pemeriksaan lanjut di bahagian hadapan premis tersebut menjumpai beberapa kotak warna coklat disyaki berisi rokok putih tidak bercukai bernilai RM65,160,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, jumlah keseluruhan rampasan dalam dua serbuan itu bernilai RM175,170 dan kes disiasat di bawah seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – UTUSAN










