WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan penubuhan Lembaga Keamanan bagi Gaza, yang merupakan elemen utama fasa kedua pelan yang disokong AS untuk menamatkan perang di wilayah Palestin itu.
“Dengan penuh penghormatan, saya mengumumkan LEMBAGA KEAMANAN telah ditubuhkan.
“Saya boleh katakan dengan pasti ini adalah lembaga yang terhebat dan paling berprestij pernah dibentuk pada bila-bila masa dan di mana-mana,” tulis Trump di platform Truth Social miliknya, sambil menambah senarai ahli badan berkenaan akan diumumkan tidak lama lagi.
Penubuhan lembaga itu diumumkan tidak lama selepas pembentukan sebuah jawatankuasa teknokrat Palestin dianggotai 15 orang, yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pentadbiran harian Gaza selepas perang.
Jawatankuasa berkenaan akan beroperasi di bawah penyeliaan Lembaga Keamanan tersebut, yang dijangka dipengerusikan oleh Trump sendiri.
Pelan itu turut memperuntukkan penempatan Pasukan Penstabilan Antarabangsa bagi membantu menjamin keselamatan Gaza serta melatih unit polis Palestin yang sudah ditapis.
“Tanggungjawab kini terletak pada para pengantara, penjamin AS dan komuniti antarabangsa untuk memperkasakan jawatankuasa ini,” kata Pemimpin Kanan Hamas, Bassem Naim dalam satu kenyataan.
Pelan keamanan Gaza yang disokong AS itu mula berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu, membolehkan semua tebusan yang ditahan Hamas dibebaskan serta menamatkan pertempuran di wilayah yang dikepung itu.
Fasa kedua pelan tersebut kini sedang dilaksanakan, namun masih dibayangi pelbagai isu yang belum diselesaikan.
Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas memaklumkan tentera Israel membunuh 451 orang sejak gencatan senjata dilaporkan mula berkuat kuasa.
Bagi rakyat Palestin, isu utama kekal pada pengunduran penuh tentera Israel dari Semenanjung Gaza, satu langkah yang terkandung dalam rangka pelan berkenaan, namun masih belum disertakan jadual pelaksanaan yang terperinci.
Sementara itu, Hamas enggan memberi komitmen secara terbuka untuk melucutkan senjata sepenuhnya, satu tuntutan yang tidak boleh dirunding oleh Israel.-AFP











