KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) mendakwa pendapatan hasil perniagaan sedia ada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah dialihkan ke anak syarikat, Tenang Capital Berhad, sekali gus menjejaskan kedudukan kewangan syarikat induk serta faedah yang sepatutnya dinikmati pekerja.
Presiden RUM, Muhammad Faizal Shahibul Kiraya berkata, beberapa perniagaan yang sebelum ini diuruskan sepenuhnya oleh KTMB, termasuk operasi makanan dan minuman (F&B) di dalam perkhidmatan ETS, kini diletakkan di bawah anak syarikat berkenaan.
Menurutnya, tindakan itu menimbulkan kebimbangan apabila pendapatan yang sepatutnya kembali mengukuhkan kewangan KTMB dan disalurkan kepada kebajikan pekerja melalui perjanjian bersama didakwa tidak lagi dinikmati sepenuhnya oleh syarikat induk.
“Kami melihat pendapatan yang sepatutnya menjadi kekuatan KTMB telah disalurkan ke Tenang Capital.
“Sedangkan hasil itu sepatutnya kembali kepada KTMB dan seterusnya kepada pekerja,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB, di sini hari ini.
Muhammad Faizal berkata, keadaan itu memberi kesan langsung kepada faedah pekerja apabila pulangan yang lazimnya dinikmati melalui perjanjian bersama sebelum ini didakwa merosot ketara dalam tempoh kebelakangan ini.
Beliau turut mempersoalkan keperluan mewujudkan anak syarikat bagi mengambil alih perniagaan sedia ada KTMB, sedangkan pekerja sendiri mempunyai keupayaan dan pengalaman untuk menguruskan operasi berkenaan.
Dalam pada itu, RUM turut membangkitkan isu pembayaran elaun secondment kepada kakitangan KTMB yang ditempatkan di Tenang Capital Berhad sejak Ogos 2025, walaupun belum mendapat kelulusan Lembaga Pengarah KTMB.
Beliau menyifatkan perkara itu sebagai serius kerana melibatkan pematuhan prosedur kewangan serta menimbulkan persoalan berkaitan tadbir urus dan ketelusan pengurusan syarikat.
“Bayaran elaun dibuat terlebih dahulu walaupun tiada kelulusan Lembaga Pengarah. Ini menimbulkan persoalan besar dari sudut tatakelola korporat dan pengurusan kewangan,” katanya.
Sehubungan itu, RUM menuntut penjelasan penuh dan telus daripada pihak pengurusan serta menggesa campur tangan Kementerian Pengangkutan bagi memastikan KTMB ditadbir secara berintegriti, telus dan berpihak kepada kepentingan pekerja serta kelangsungan perkhidmatan awam negara. – UTUSAN










