MUKADIMAH
DENGAN lampu hijau yang diberikan ketika pemukiman Pakatan Harapan (PH) pada April lalu, nampaknya kerjasama gabungan itu dengan UMNO bagi menubuhkan kerajaan baharu boleh menjadi kenyataan.
Dalam temu bual dengan Setiausaha PH, DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL di Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau menjelaskan mengenai beberapa prasyarat bagi membentuk kerjasama politik dinamakan ‘khemah besar’ yang tidak sukar dipenuhi UMNO.
Selain faktor keyakinan merebut kembali semua kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Setiausaha Agung PKR itu menegaskan kepada wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan jurugambar, MUHAMAD IQBAL ROSLI, kelemahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan membantu pihaknya menarik sokongan pengundi.
Beliau yang cukup memahami masalah masyarakat berpendapatan rendah (B40) kerana pernah menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang mencetuskan idea Food Bank Malaysia meluah kekecewaan dengan sikap kerajaan PN yang didakwanya tidak mendahulukan rakyat.
KHEMAH BESAR
UTUSAN: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah memberi bayangan mengenai pembentukan jajaran atau gabungan politik baharu melibatkan kerjasama bersama PH. Komen?
SAIFUDDIN: Pertama saya hendak sebut, di peringkat PH sendiri pada pemukiman terakhir yang berlangsung dua hari sebelum Ramadan, kita telah mencapai enam ketetapan.
Satu daripada ketetapan itu dinamakan konsep khemah besar, iaitu kita menerima hakikat trend politik kebelakangan ini iaitu PH semata-mata kemungkinan ada peluang untuk kita mengambil alih kerajaan sepertimana yang kita buktikan ketika PRU-14 pada 2018.
Tetapi dalam keadaan lebih baik adalah kesediaan PH untuk ikut menampung elemen di luar yang hari ini bukan sebahagian daripada gabungan itu.
Saya tengok kenyataan Datuk Seri Zahid itu adalah satu anjakan besar, iaitu kesediaan mengakui bahawa UMNO sahaja yang pernah menjadi parti dominan orang Melayu tidak mungkin akan dapat memberikan impak besar walaupun ia bukan satu perkara yang baharu kepada saya.
Kerjasama UMNO dengan PH melibatkan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) boleh menjadi kenyataan?
Sudah tentu ketetapan ini datang dengan beberapa prasyarat, iaitu kesediaan (parti luar) untuk menerima agenda reform (pembaharuan) yang sangat sinonim dengan perjuangan PH.
Harus juga ada kesediaan untuk menerima perkara-perkara yang telah disepakati dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya yang menyentuh tentang kedudukan Islam dan institusi raja-raja Melayu.
Ini termasuk Perkara 153 mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan juga hak bumiputera Sabah dan Sarawak serta bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa lain bebas dipelajari dan dipertuturkan.
Kemudian kita juga letakkan beberapa prasyarat lain iaitu menerima satu prinsip tata kelola atau praktis tadbir urus baik dalam sebuah kerajaan.
Dalam konteks khemah besar yang saya sebut tadi, kita tidak nyatakan mana-mana parti asal sahaja pihak terbabit menunjukkan minat dan kesediaan menerima perkara-perkara yang saya sebutkan tadi.
Elemen di luar PH juga boleh jadi civil society (masyarakat madani) atau individu-individu yang ada pengaruh.
Setakat ini, berhubung ketetapan khemah besar, belum ada lagi perbincangan spesifik dengan UMNO dan sebagainya (pihak-pihak lain). Kita belum lagi membuka jalan perundingan secara rasmi, belum ada apa-apa.
ANWAR PM KE-9
Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa kerjasama tidak akan berlaku kerana UMNO tidak dapat menerima syarat PH yang mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Kesembilan. Benarkah?
Itu pandangan peribadi Tun Mahathir dan ia tidak mewakili PH. Saya tidak anggap itu sebagai relevan.
Yang paling penting adalah pada pemukiman di Port Dickson tempoh hari, ketetapan nombor satu menyebut bahawa PH dalam memasuki pilihan raya akan datang meletakkan Anwar sebagai jeneral yang akan memimpin jentera kempen.
Jika PH diberi kepercayaan oleh rakyat untuk kembali menjadi kerajaan, maka Anwar kekal sebagai calon Perdana Menteri dari PH. Itu resolusi nombor satu.
Dalam konteks pendekatan khemah besar, itu akan tetap kita sampaikan sebagai keputusan ataupun pendirian PH. Itu (keputusan akhir) sangat bergantung kepada dinamik perbincangan.
YAKIN PERTAHAN KERUSI
Jika dilihat jumlah kerusi PH dan UMNO pada PRU-14, berapa bilangan kerusi yang boleh dimenangi pada PRU-15?
Kedudukan kerusi Parlimen PH yang menang PRU-14 (sebelum kes lompat parti), DAP ada 42 kerusi dan Amanah (11). PKR itu asalnya kita menang 48 kerusi tetapi dengan kemasukan ahli Parlimen Bebas kita ada 50 kerusi.
Jika kita tidak kira yang masuk kemudian, 48 campur 42, itu sudah 90, campur Amanah sebanyak 11 kerusi itu sudah 101. Ini bermaksud kita hanya kekurangan 11 kerusi untuk mendapat majoriti mudah 112 kerusi. Jadi, satu lagi blok terbesar di luar PH ialah UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Jika berlaku keadaan (selepas PRU-15) di mana tiada mana-mana gabungan yang mendapat majoriti, resolusi khemah besar PH itu menjadi sangat relevan. Kita bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak di luar daripada kerangka PH.
Kalau PRU-15 ini diadakan lambat lagi, bolehkah kerajaan PN tumbang?
Ia tidak mustahil sebab blok PH yang ada sekarang ini pun di sebalik pengkhianatan ahli Parlimen PKR menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), ia masih lagi blok terbesar.
Bila sampai mencecah angka 90 kerusi, itu blok terbesarlah yang tidak boleh diabaikan atau dipandang sebelah mata sahaja.
Yakinkah untuk menang semula di 11 kawasan Parlimen yang wakil rakyat PKR melompat parti menyertai Bersatu?
Sasaran PKR untuk PRU-15 adalah bertanding dan mengekalkan kemenangan di semua kerusi yang kita menang termasuklah kerusi-kerusi yang dikhianati. Sebanyak 48 kerusi, itu asas kita.
Biar saya ungkap sedikit fakta sejarah. Pada 2008, PKR pernah mengalami episod sejumlah ahli Parlimen keluar daripada parti antaranya Bayan Baru, Nibong Tebal, Padang Serai, Bagan Serai dan Wangsa Maju. Hilang antara tujuh ke lapan kerusi. Pada PRU 2013, PKR menang semula semua kerusi ini dengan majoriti lebih besar.
Ini bermaksud pengundi tidak menghukum PKR kerana wakil rakyat lari. Itu antara fakta menarik, tetapi bukan bermaksud PKR kena ambil mudah terhadap sokongan rakyat, tak boleh.
MARKAH
Boleh bagi rating kerajaan PN sekarang?
Sekarang ini pada saya kerajaan PN berada pada titik paling rendah. Kalau satu paling teruk dan 10 itu paling cemerlang, sekarang ia terkial-kial dengan 2.5 peratus sahaja. Teruklah.
Alasan saya untuk memberi markah itu adalah berdasarkan tiga parameter yang jelas dari segi ekonomi, Covid-19 secara keseluruhan dan vaksinasi.
Pertama, dari segi ekonomi. Kita lupakan ramalan pertumbuhan ekonomi lima hingga enam peratus. Kita sudah lebih setahun mengalami pandemik ini dan keadaan ekonomi tidak menjadi semakin baik.
Pelabur asing lari dan rakyat kehilangan pekerjaan dan pendapatan. Hasil (cukai) negara juga terjejas kerana syarikat tidak dapat beroperasi sepenuhnya. Rakyat juga tidak dapat membayar cukai pendapatan kerana tiada kerja. Kalau kita ambil ukuran-ukuran itu, ternyata kerajaan ini gagal.
Kedua, dari segi Covid-19. Masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, darurat tak ada, vaksin pun belum ada lagi, kita pernah ada sifar kematian dan angka kes tinggal dua digit. Lepas itu, PKP 2.0, kemudian PKP 3.0, dan campur tangan kerajaan dengan Proklamasi Darurat mulai 11 Januari lalu, apa berlaku? Kadar kematian dan kes positif semua meningkat.
Kita sudah laksanakan non-pharmaceutical interventions (NPIs) seperti penjarakan fizikal dan tidak boleh rentas daerah dan negeri. Rakyat patuh ketika PKP 1.0 tetapi tidak ikut ketika PKP 2.0 dan 3.0.
Ini kerana rakyat melihat pemakaian undang-undang itu bersifat flip-flop iaitu pelaksanaannya bersifat terpilih (double standard). Maknanya orang kenamaan (VIP) buat salah, denda ataupun siasatan lambat. Orang biasa yang langgar, dikenakan denda serta merta.
Polisi juga tidak konsisten dan banyak sangat tukang masak (jurucakap) yang membuat pengumuman.
Ketiga, dari segi vaksinasi. Kerajaan umum akan vaksin 75,000 orang sehari, 500,000 orang seminggu dan akan mencapai imuniti kawanan pada Mac 2022. Sekarang kita tidak capai pun sasaran itu kerana kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang perlahan sedangkan tidak perlu birokrasi seperti ini kerana vaksin itu telah diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Kalau kerajaan hendak guna kuasa darurat kerana keadaan memerlukan, guna masa inilah tetapi tidak pula diguna.
Proses pendaftaran yang kelam-kabut. Angka yang mendaftar baharu separuh. Di Kelantan dan Terengganu, kita diberitahu ada 10,000 orang di setiap negeri yang sudah mendaftar tetapi tidak datang.
CADANGAN PH PULIH EKONOMI
Apakah cadangan bagi memulihkan ekonomi negara?
Pandemik Covid-19 memberi kesan yang jelas kepada dua perkara iaitu kesihatan dan ekonomi. Kedua-duanya sama parah dan terdapat juga isu keselamatan.
Jadi, cabaran terbesar sekarang adalah bagaimana mencari formula seimbang yang boleh menjaga kedua-dua kepentingan ini.
Sudah tentu secara makro yang kita usulkan. Pertama, berasaskan kepada prinsip maqasid syariah iaitu keutamaan pemerintah adalah menjaga nyawa rakyat. Orang kata ekonomi masih boleh pulih, nyawa satu sahaja, kalau nyawa ‘terbang’, tak boleh pulih dah.
Kedua, kita kena tahu apabila hilang pendapatan, rakyat boleh menghadapi situasi tidak cukup makan. Tekanan juga meningkat, akhirnya mungkin ada yang bertindak membunuh diri.
Sekarang bukan sahaja berlaku kes kehilangan kerja, terjadi juga underemployment iaitu kelayakan tinggi tetapi dia terpaksa ambil kerja yang kelayakan rendah.
Jadi, PH dalam merangka formula penyelesaian ini memberikan keutamaan dahulu kepada tanggungjawab kerajaan dalam masa serta-merta. Sekarang kita tidak boleh merancang jangka panjang.
Boleh jelaskan formula penyelesaian jangka pendek PH?
Kerajaan harus segera menggunakan seluruh dana yang ada untuk memberikan pemberian tunai bagi memenuhkan dulu kocek rakyat.
Perdana Menteri umumkan RM600 bilion telah digunakan baru-baru ini dan tambahan RM40 bilion melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) Plus. Jadi, kerajaan sudah belanjakan RM640 bilion.
Ini bukan semuanya daripada kantung perbendaharaan kerana ia juga dalam bentuk lain seperti pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pemberian moratorium oleh bank.
Pendirian PH, moratorium pinjaman hendaklah secara automatik bukan bersasar seperti sekarang. Kerajaan menyatakan tiada kuasa undang-undang untuk memaksa bank-bank yang baru-baru ini mengumumkan keuntungan keseluruhan RM22 bilion.
Sekarang negara dalam darurat, dengan daruratlah Parlimen ditangguhkan. Kenapa tidak dengan kuasa darurat juga kerajaan mengarahkan bank supaya memberikan moratorium automatik?
Apa alasan perlu moratorium automatik?
Kita lihat pendapatan bulanan isi rumah, mereka habiskan 75 peratus untuk bayaran bil utiliti, perumahan, pengangkutan, makan dan minum, pendidikan serta kesihatan.
Soal leisure (aktiviti masa lapang) ini kurang sangatlah, buat masa sekarang ini. Kalau golongan miskin, perbelanjaan yang terbesar diguna pakai adalah membeli makanan.
Moratorium akan beri kelegaan kepada bukan sahaja 10 juta isi rumah B40 tetapi kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) yang berada di peringkat bawah.
Dicampur kedua-duanya, jumlah akan menjadi antara 12 hingga 13 juta isi rumah.
Bagaimana pula isu defisit kewangan?
Kebimbangan kerajaan PN untuk meningkatkan perbelanjaan ketika pendapatan tidak bertambah adalah defisit akan melebar dan semakin membengkak.
Kerajaan PN risau penarafan akan diturunkan oleh agensi penarafan antarabangsa dan apabila berhutang nanti, kerajaan terpaksa membayar dengan kadar faedah lebih tinggi.
Buat masa sekarang, tidak perlu risau soal penarafan ini dan tidak perlu terlalu obses dengan semua peraturan.
Kita tahu keupayaan kita, rizab dan pegangan institusi kita berapa, yang boleh kita tunai dan gunakan. Keutamaan sekarang adalah masa sebulan, dua bulan ini untuk memberikan keselesaan kepada rakyat.
Itu adalah penyelesaian segera yang kerajaan mesti buat selain mengamalkan polisi penjimatan.










