1MDB keadilan separa tidak menyembuhkan luka negara

1MDB keadilan separa tidak menyembuhkan luka negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SKANDAL 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan sekadar episod hitam dalam sejarah kewangan negara sebaliknya tragedi institusi menunjukan kegagalan sistemik yang melibatkan wang rakyat, jaringan kuasa, kelemahan penguatkuasaan dan kerapuhan tadbir urus. 

Walaupun beberapa tokoh politik diheret ke muka pengadilan dan dihukum, namun persoalan asas masih belum dijawab sepenuhnya, adakah keadilan benar-benar ditegakkan atau kita hanya menyentuh permukaannya?

Malaysia tidak boleh mendakwa telah ‘menutup buku’ 1MDB selagi akauntabiliti dilaksanakan secara terpilih.

Naratif awam sering memusatkan 1MDB sebagai kesalahan individu tertentu. Hakikatnya, skandal ini tidak mungkin berlaku tanpa rangkaian perancang, operator, pelaksana dan penerima manfaat yang berfungsi merentasi sempadan negara dan institusi. 

Perbicaraan 1MDB sendiri mendedahkan kewujudan individu-individu bukan politik yang berperanan besar dalam merancang struktur kewangan, mengatur pemindahan dana, menutup jejak transaksi dan memanfaatkan kelemahan sistem.

Persoalan besar timbul apabila sebahagian individu ini masih bebas, belum didakwa atau hanya tampil sebagai saksi, walaupun penglibatan mereka diakui dalam prosiding mahkamah dan siasatan antarabangsa.

Keadilan tidak boleh bersifat hierarki. Jika mereka yang merancang dan mendapat keuntungan terbesar tidak dipertanggungjawabkan, maka mesej yang dihantar kepada rakyat ialah undang-undang tegas ke bawah, longgar ke atas.

Dalam mana-mana sistem kewangan moden, pengawal selia kewangan memainkan peranan kritikal sebagai benteng awal terhadap jenayah kewangan. Mereka memantau transaksi mencurigakan, menguatkuasakan undang-undang anti-pengubahan wang haram dan meneliti urus niaga melibatkan individu berprofil tinggi.

Skandal 1MDB melibatkan hutang berbilion ringgit, jaminan kerajaan yang kabur, serta pemindahan dana besar merentas sempadan. Ini bukan transaksi biasa. Ia adalah jenis aktiviti yang, dalam sistem yang berfungsi, sepatutnya mencetuskan penggera risiko tahap tertinggi.

Namun, persoalan yang masih menghantui negara ialah adakah penggera itu berbunyi tetapi tidak diendahkan? Atau adakah sistem gagal mengesan kerana kelemahan struktur dan konflik kepentingan?

Jika pengawal selia mengetahui tetapi tidak bertindak, pastinya itu kegagalan integriti. Jika mereka tidak mengetahui, maka ia kegagalan kecekapan. Kedua-duanya memerlukan penjelasan terbuka.

Lebih meresahkan, terdapat pendedahan antarabangsa yang pernah mengaitkan individu rapat dengan elit pentadbiran kewangan negara kepada aliran dana berkaitan 1MDB. Walaupun tiada pertuduhan jenayah akhirnya dikenakan, namun tanpa penjelasan awam yang terperinci menimbulkan persepsi bahawa isu tersebut ‘disapu ke bawah karpet’.

Dalam kes berskala mega seperti 1MDB, keheningan bukanlah penafian bersih. Rakyat berhak mengetahui apa yang disiasat, bukti apa yang dinilai, mengapa kes ditutup dan bagaimana potensi konflik kepentingan ditangani? 

Tanpa ketelusan ini, kepercayaan terhadap institusi akan terus terhakis.

Sepanjang saga 1MDB, kita menyaksikan pegawai bank, perantara dan pemain kecil diheret ke mahkamah, didakwa dan dihukum. Namun apabila persoalan mula menghampiri puncak kuasa institusi sama ada pengawal selia, penasihat atau elit profesional dilihat proses itu kelihatan terhenti.

Ini menimbulkan persepsi bahaya apabila wujud dakwaan dua standard akauntabiliti dalam negara ini.

Jika benar, ia bercanggah dengan prinsip kedaulatan undang-undang. Undang-undang tidak wujud untuk melindungi reputasi institusi tetapi untuk melindungi kepentingan awam. Institusi yang hanya boleh dipertahankan melalui kesenyapan bukan institusi yang kukuh.

Satu lagi isu kritikal ialah dakwaan penggunaan individu yang terlibat secara langsung sebagai saksi pendakwaan. Walaupun pendekatan ini dibenarkan dari sudut undang-undang, namun mesti dikendalikan dengan sangat berhati-hati.

Apabila saksi menerima manfaat kewangan, terlibat dalam penyusunan transaksi atau melarikan diri sebelum kembali bekerjasama, maka persoalan kredibiliti dan keadilan tidak boleh diketepikan. Kerjasama tidak seharusnya menjadi tiket imuniti mutlak, terutama apabila kerosakan yang berlaku melibatkan kepentingan negara.

 

SKANDAL 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak boleh dianggap selesai selagi keadilan dilaksanakan secara terpilih dan akar kegagalan sistem tidak disentuh.

 

REFORMASI TIDAK BOLEH TERHENTI PADA POLITIK

Malaysia menyaksikan perubahan politik, pertukaran kerajaan dan pembaharuan retorik. Namun reformasi sebenar menuntut lebih daripada itu. Ia memerlukan:

  • Semakan bebas terhadap kegagalan institusi
  • Reformasi pengawal selia kewangan
  • Pengurusan konflik kepentingan yang telus
  • Kesediaan untuk menyiasat tanpa rasa takut atau hormat kepada kedudukan

Cadangan seperti siasatan parlimen bebas atau semakan institusi bukan bertujuan menghukum tetapi memulihkan kepercayaan awam.

1MDB telah ‘mencederakan’ nama negara, memiskinkan kepercayaan rakyat dan mencabar integriti sistem kita. Menjatuhkan hukuman ke atas beberapa individu penting tidak mencukupi jika akar permasalahan tidak disentuh, termasuk  keadilan separa tidak menyembuhkan luka negara. Ini kerana Malaysia hanya boleh melangkah ke hadapan apabila semua perancang, pelaksana serta penerima manfaat dipertanggungjawabkan, semua institusi, termasuk pengawal selia, disemak secara telus dan prinsip tiada siapa kebal benar-benar diterjemahkan dalam amalan.

Jika tidak, bayang-bayang 1MDB akan terus menghantui negara,  bukan sebagai sejarah tetapi sebagai amaran bahawa kita gagal belajar daripada kesilapan terbesar kita sendiri.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) percaya  keberanian menuntut kebenaran adalah asas reformasi. Dan kebenaran tidak takut kepada siasatan. -UTUSAN

 

PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×