Rasulullah SAW memiliki pelbagai mukjizat dan kelebihan yang merupakan anugerah daripada Allah SWT dengan antaranya ialah keajaiban peristiwa al-Israk dan al-Mikraj.
Allah mewahyukan firmanNya di dalam ayat pertama Surah al-Isro’ sebagai bukti peristiwa perjalanan yang menakjubkan yang berlaku kepada Rasulullah adalah benar-benar anugerah agung buat baginda.
Allah SWT berfirman ‘Maha Suci (tuhan) yang memperjalankan hambaNya pada waktu malam dari al-Masjid al-Haram ke al-Masjid al-Aqsa yang Kami memberkati kawasan sekitarnya untuk Kami menunjukkan kepada Baginda sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat’.
Ayat yang diwahyukan di Mekah ini diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad sebagai jawapan balas kepada golongan musyrikin yang tidak mempercayai kebenaran kisah perjalanan agung ini.
Keagungan Surah al-Isro’ atau turut juga dikenali dengan nama Surah Subhan dan Surah Bani Israel ini terserlah apabila ia menjadi antara surah yang dibaca oleh Rasulullah setiap malam sebelum baginda melelapkan mata seperti yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmidziyy dengan sanad beliau: [Saidatina] ‘Aishah tberkata ‘Nabi SAW tidak akan tidur di pembaringan baginda sehinggalah baginda membaca [Surah] Bani Israel dan [Surah] al-Zumar’.
Mengapa dimulakan dengan ‘Maha Suci’?
Menurut al-Imam Najmuddin al-Ghoytiyy (wafat pada 982 hijriah) di dalam karya beliau yang berjudul al-Ibtihaj Fi al-Kalam ‘Ala al-Isro’ Wa al-Mi‘roj; ada dua hikmah mengapa Allah memulakan Surah al-Isro’ dengan menyebut: Subhan (Maha Suci):
Pertama: Orang Arab akan menyebut Subhanallah (Maha Suci Allah) apabila mereka mendengar sebarang berita yang menghairankan. Lalu Allah telah menggunakan kalimah Subhan untuk menjadikan orang Arab merasa takjub dengan peristiwa al-Isro’ yang berlaku kepada Rasulullah.
Kedua: Apabila Rasulullah menceritakan peristiwa al-Isro’ kepada masyarakat Quraish, maka mereka menuduh baginda sebagai seorang pendusta. Lalu Allah menurunkan Surah al-Isro’ dengan memulakannya dengan kalimah Subhan bagi menyatakan Allah adalah Maha Suci daripada memilih seorang rasul yang pendusta.
Tarikh sebenar Israk Mikraj
Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan tarikh tepat peristiwa bersejarah ini berlaku. Adapun dari sudut tahun, al-Imam al-Nawawiyy contohnya berpendapat peristiwa al-Isra’ dan al-Mi’roj berlaku setahun sebelum peristiwa hijrah.
Ada juga pandangan lain yang menyatakan peristiwa ini berlaku tiga tahun sebelum peristiwa hijrah. Menurut al-Qodhi ‘Iyadh pula; peristiwa ini berlaku lima tahun sebelum hijrah.
Adapun dari sudut bulan, berlaku juga perbezaan pandangan para ulama. Al-Imam Ibnu al-Athir contohnya berpendapat peristiwa ini berlaku pada bulan Rabiul Awal. Ada juga pandangan lain ia berlaku pada bulan Rabiul Akhir.
Ada juga yang berpendapat ia berlaku pada 27 Rejab. Ada juga yang berpendapat ia berlaku pada bulan Ramadan bahkan ada juga yang berpendapat ia berlaku pada bulan Syawal.
Namun al-Syeikh Abdullah Abu Dzikri di dalam karyanya yang berjudul Yawmiyyat al-Sirah al-Nabawiyyah al-Musyarrofah membuat kajian dan mendapati peristiwa agung ini berlaku pada malam Sabtu 27 Rejab tahun 3 sebelum hijrah bersamaan 8 Mac tahun 620 Masihi.
Rumah Saidatina Ummu Hani’ jadi saksi
Terdapat pelbagai riwayat dalam menceritakan lokasi awal keberadaan Rasulullah pada malam baginda dibawa berjalan dengan penuh keajaiban ini. Ada riwayat yang menyatakan baginda ketika itu berada di dalam rumah sepupu baginda iaitu Saidatina Ummu Hani’ binti Abu Tolib.
Ada riwayat lain yang menyatakan baginda pada malam itu berada di rumah baginda. Ada juga riwayat yang menyatakan baginda ketika itu tidur di Kaabah. Ada riwayat yang menyatakan secara khusus baginda pada malam itu berada di Hijr Nabi Ismail.
Walaupun seolah-olah wujud percanggahan antara riwayat-riwayat tersebut, namun al-Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalaniyy berpandangan semua riwayat tersebut hakikatnya adalah benar dan tidak bercanggah sama sekali antara satu sama lain.
Menurut beliau; Rasulullah pada malam tersebut tidur di rumah Saidatina Ummu Hani’. Oleh itu, riwayat yang menyebut baginda tidur di rumah baginda hakikatnya merujuk kepada rumah sepupu baginda, iaitu Saidatina Ummu Hani’.
Setelah itu Rasulullah dibawa keluar dari rumah Saidatina Ummu Hani’ ke Kaabah kemudian ke pintu al-Masjid al-Haram lalu dipersilakan menaiki binatang tunggangan khusus yang dikenali sebagai Buroq.
Pada malam tersebut, malaikat Jibril membelah atap rumah Saidatina Ummu Hani’ lalu beliau masuk ke dalam rumah melalui belahan atap tersebut bagi menemui Rasulullah. Ini adalah satu perkara yang ganjil kerana pasti akan timbul persoalan, mengapa Malaikat Jibril tidak memasuki rumah Saidatina Ummu Hani’ melalui pintu rumah?
Al-Imam Najmuddin al-Ghoytiyy dalam kitab al-Ibtihaj fi al-Kalam ‘ala al-Isro’ wa al-Mi‘roj menukilkan pandangan Ibnu Dihyah hikmah peristiwa ini menunjukkan kemuliaan besar yang bakal diterima Rasulullah pada malam al-Isro’ dan al-Mi‘roj. Peristiwa belahan atap ini juga adalah isyarat bagaimana atap rumah tersebut dibelah lalu dicantumkan semula, maka seperti itulah yang bakal berlaku kepada Rasulullah iaitu pembelahan dada baginda yang kemudian akan dicantumkan semula.
Sebahagian ulama berpandangan kemunculan Jibril dari arah atas bertujuan memberi isyarat kepada Rasulullah yang baginda akan dibawa naik ke langit.Pada hari ini, lokasi rumah Saidatina
Ummu Hani’ berada di penjuru lapangan tawaf yang berdepan dengan al-Rukn al-Yamani. Lokasi rumah bersejarah ini berada di belakang satu daripada tiang al-Masjid al-Haram yang ditulis dengan tulisan Abu Bakr al-Siddiq Rodhiyallahu ‘Anhu.
Dada Rasulullah dibelah hidup-hidup
Sebelum perjalanan al-Isra’ dan al-Mi’raj berlaku, dada Rasulullah dibelah terlebih dahulu oleh Jibril di Hijr Nabi Ismail. Setelah dibelah Jibril, beliau meminta malaikat Mikail membawakan mangkuk berisi air zamzam lalu Jibril mengeluarkan jantung Rasulullah dan membasuhnya sebanyak tiga kali.
Menurut guru saya, Fadhilat al-Syeikh Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy, peristiwa ajaib ini menunjukkan Rasulullah hidup semata-mata bergantung kepada kekuasaan Allah. Hal ini kerana manusia akan mati apabila jantungnya dikeluarkan daripada jasad. Namun perkara tersebut tidak berlaku kepada Rasulullah, bahkan baginda menyaksikan sendiri dadanya dibelah, jantungnya dikeluarkan dan dibasuh dengan air zamzam sebelum dimasukkan semula ke dalam dadanya.
Keajaiban ini turut disedari semenjak hari pertama kelahiran Rasulullah apabila bidan mendapati tali pusat baginda sudah terputus dari tubuh baginda sejak di dalam rahim Saidatina Aminah binti Wahb lagi. Hal ini amat menghairankan kerana kebiasaannya bayi tidak akan hidup jika tali pusatnya telah terputus.
(bersambung)
Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz) Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.










