KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempelawa mana-mana wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar kembali kepada pangkuan UMNO.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi berkata, tawaran itu dibuat sewaktu Taklimat Presiden UMNO yang berlangsung secara tertutup semalam.
Katanya, mereka dialu-alukan untuk kembali ke pangkuan UMNO, namun kemasukan mereka tertakluk kepada syarat dan persetujuan tertentu yang perlu dipatuhi bersama.
Puad berkata, ia tiada kaitan dengan mana-mana bekas pemimpin parti yang digantung atau dipecat.
“Dalam taklimat Presiden UMNO semalam ada portal keliru dengan apa yang dimaksudkan membuka dan menutup pintu UMNO.
“Pada kefahaman saya sebenarnya ia ditujukan kepada ahli-ahli Parlimen Bersatu yang berasal dari UMNO tetapi melompat parti.
“Mereka ini dialu alukan kembali ke pangkuan UMNO. Tetapi mestilah ada benda yang mesti dipersetujui bersama (itu maksud pintu tidak dibuka seluas luasnya atau ditutup serapat rapatnya),” katanya dalam Facebook beliau.
Katanya, Bersatu yang kini berdepan krisis kepimpinan boleh mengulangi episod Parti Semangat 46 dibubarkan.
“Sebab itu Muhyiddin (Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin) letak jawatan dalam PN lebih awal. Itu petanda dia hilang kawalan terhadap Bersatu.
“Tidak ada kaitan dengan KJ atau Hishamuddin. Mereka tidak lompat parti,” katanya.
Semalam satu portal mendakwa Ahmad Zahid konon menjemput ahli-ahli UMNO yang dipecat dan digantung untuk kembali kepada pangkuan parti sewaktu Taklimat Presiden UMNO yang berlangsung secara tertutup semalam. – UTUSAN










