WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melaksanakan penggantungan tanpa tempoh terhadap pemprosesan visa dari 75 negara, satu langkah yang akan terus mengehadkan laluan kemasukan secara sah ke negara itu.
Jabatan Negara AS pada Rabu memaklumkan langkah tersebut bertujuan untuk menamatkan apa yang disifatkan sebagai ‘penyalahgunaan sistem’ oleh individu yang didakwa mengambil kesempatan terhadap kebajikan dan bantuan awam AS.
Sejak kembali memegang jawatan, Trump berusaha mengehadkan kedua-dua kemasukan secara haram dan sah ke negara itu.
Arahan baharu ini akan berkuat kuasa pada 21 Januari, namun senarai penuh 75 negara yang terlibat masih belum diumumkan.
Xinhua melaporkan, Somalia, Russia, Afghanistan, Brazil, Iran, Iraq, Mesir, Nigeria, Thailand dan Yemen antara yang terlibat.
Menurut Jurucakap Timbalan Utama Jabatan Negara AS, Tommy Pigott, jabatan itu akan menggunakan kuasa sedia ada untuk mengisytiharkan individu tertentu sebagai tidak layak sekiranya mereka berpotensi menjadi ‘beban awam’ kepada Amerika Syarikat dan mengeksploitasi sistem kebajikan negara tersebut.
Beliau menambah, Jabatan Negara yang diketuai oleh Setiausaha Negara, Marco Rubio akan menggantung pemprosesan visa berkenaan sementara prosedur dinilai semula bagi menghalang kemasukan warga asing yang berkemungkinan bergantung kepada kebajikan dan manfaat awam.
Menurut laporan Associated Press, pegawai konsular diarahkan untuk menghentikan pemprosesan permohonan visa dari negara-negara yang terlibat namun tidak melibatkan visa pelancong, perniagaan sementara atau visa lain, termasuk untuk peminat bola sepak yang ingin menyaksikan Piala Dunia tahun ini, walaupun pentadbiran Trump berikrar untuk menyemak sejarah media sosial semua pemohon.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Jabatan Negara AS turut memperketatkan sekatan migrasi ke atas negara yang dianggap Trump sebagai ancaman keselamatan negara, termasuk Russia, Iran, Afghanistan serta beberapa negara di Afrika.
Selepas seorang pendatang dari Afghanistan didakwa terlibat dalam insiden tembakan terhadap dua anggota Pengawal Kebangsaan di Washington, DC pada November lalu, pentadbiran Trump telah mengharamkan atau mengehadkan kemasukan warga dari 19 negara.
Pada Disember, larangan perjalanan itu diperluaskan kepada lima negara tambahan serta individu yang menggunakan dokumen perjalanan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Palestin.
Selain itu, kes-kes suaka, pemprosesan kewarganegaraan serta permohonan kad hijau bagi pendatang dari 19 negara yang terlibat dalam larangan awal tersebut turut digantung.
Pada Isnin, Jabatan Negara berkata, pihaknya sudah membatalkan lebih daripada 100,000 visa sejak Trump kembali memegang jawatan.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri bulan lalu memaklumkan pentadbiran Trump mengusir lebih 605,000 orang dan 2.5 juta yang lain keluar secara sukarela.










