PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini memerintahkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan membayar ganti rugi RM250,000 kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh Tseow Suan selepas membenarkan rayuan wanita itu.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Azimah Omar (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) yang bersidang bersama Datuk Dr. Choo Kah Sing dan Datuk Dr. Shahnaz Sulaiman sebulat suara memutuskan demikian, selepas mendapati Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam keputusannya.
“Kami membenarkan rayuan perayu dan keputusan terdahulu diketepikan,” kata Hakim Azimah yang turut memerintahkan Musa membayar kos sebanyak RM60,000.
Hannah memfailkan rayuan pada 26 Disember 2024 selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur bertarikh 23 Disember 2023 menolak saman fitnah yang difailkannya terhadap Musa.
Ketika itu, Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi menolak saman tersebut selepas mendapati plaintif (Hannah) gagal membuktikan kenyataan Musa bersifat fitnah atau dibuat dengan niat jahat.
Mahkamah turut berpandangan bahawa forum yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dilindungi oleh keistimewaan dan kenyataan yang dibuat oleh defendan (Musa) mempunyai asas munasabah berdasarkan pengakuan serta penulisan Hannah dalam bukunya, Becoming Hannah: A Personal Journey.
Ekoran keputusan itu, mahkamah memerintahkan Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut membayar kos sebanyak RM40,000 kepada Musa.
Hannah memfailkan saman tersebut pada 3 Julai 2020 dan mendakwa Musa telah memberi ucapan pada forum itu dengan mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai dirinya dan dibuat dengan niat jahat serta mencemarkan nama baiknya.
Kenyataan yang dipertikaikan itu mendakwa Hannah menulis bukunya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan Malaysia serta meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara. – UTUSAN











