Belajar di sekolah harian juga boleh raih kejayaan

Belajar di sekolah harian juga boleh raih kejayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGU ini, bermulalah sesi persekolahan tahun 2026. Sesi persekolahan yang bermula minggu ini juga melibatkan sekolah-sekolah berasrama penuh atau lebih dikenali sebagai SBP. Bagi pelajar baharu tingkatan satu SBP, tarikh pendaftaran ialah pada 13 Januari 2026.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sering kedengaran perbincangan dalam kalangan ibu bapa tentang wajarkah anak-anak mereka dimasukkan ke sekolah-sekolah berasrama penuh tidak kira sama ada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) atau sekolah-sekolah berasrama penuh swasta yang lain.

Perbincangan ini berlaku kerana SBP semakin menjadi rebutan dalam kalangan ibu bapa dan murid untuk meneruskan pengajian ke peringkat menengah.

Sebagai seorang alumni SBP Premier dan antara tertua di Malaysia, iaitu Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) di Negeri Sembilan pada tahun 1991-1995, saya terpanggil untuk menulis tentang isu yang menjadi perbincangan hangat ini dalam kalangan ibu bapa dan murid.

Kebetulan pula, dua anak saya juga telah tamat belajar di tingkatan lima di MRSM beberapa tahun yang lalu. Sememangnya SBP menjadi rebutan kerana para ibu bapa inginkan suasana pengajaran dan pembelajaran (P&P) terbaik di sekolah buat anak-anak mereka.

Saya mengakui bahawa SBP-SBP memiliki ekosistem yang kondusif untuk P&P. Di situ, para pelajar akan meneruskan pengajian secara lebih tersusun dan bersistematik dengan guru-guru yang terlatih dan berpengalaman. Kemudahan-kemudahan yang disediakan juga sesuai dengan keperluan P&P.

Tambahan lagi, ko-kurikulum juga diberi penekanan di SBP, misalnya semasa saya di SDAR, sukan seperti ragbi, bola sepak dan bola keranjang sangat popular.

Begitu juga di peringkat SBP, setiap tahun Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri (PPM) akan diadakan bagi membolehkan para pelajar SBP bertanding sesama mereka dalam kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Semuanya ini untuk melatih para pelajar SBP lebih berwibawa, berketrampilan dan bukan setakat cemerlang dari segi akademik semata-mata tetapi juga dari segi jasmani, mental dan rohani.

Ketika zaman saya belajar di SDAR, rata-ratanya para pelajar SBP datangnya dari keluarga miskin. Ketika itu, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dijadikan syarat utama kemasukan ke SBP selain terdapat ujian darjah kecerdasan (IQ).

Ketika itu, tiada sebarang permohonan dibuat oleh para murid untuk kemasukan ke SBP. Pihak KPM sendiri yang akan memilih dan menawarkan tempat kepada para murid untuk bersekolah di SBP selepas keputusan UPSR diumumkan.

Kini, tiada lagi UPSR tetapi pihak KPM memiliki cara tersendiri untuk menapis para pelajar yang ingin memohon kemasukan ke SBP, iaitu melalui Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

Jadi, apabila pihak KPM mengumumkan untuk membuat kajian semula sama ada wajarkah mengembalikan atau sebaliknya UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), sudah tentulah kajian semula ini perlu dijalankan dengan betul-betul terperinci dan teliti supaya memberi manfaat kepada semua pihak dalam tempoh jangka masa panjang terutamanya bagi memperkasakan dan memacu sistem pendidikan Malaysia ke peringkat lebih tinggi lagi.

Jika kajian semula tersebut menunjukkan bahawa UPSR dan PT3 wajar dikembalikan, maka kedua-dua peperiksaan umum ini dijangka kembali menjadi syarat utama kemasukan ke SBP.

Dari satu sudut, sememangnya SBP dilihat sebagai sekolah terbaik buat anak-anak, tetapi itu tidak bermakna sekolah harian tidak dapat melahirkan ramai alumni yang berjaya.

Sebelum memasuki SDAR, saya sempat bersekolah di sekolah menengah harian di Ipoh, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist Anglo-Chinese School (ACS), Ipoh, malah selepas tamat belajar tingkatan lima di SDAR, saya juga sempat bersekolah di tingkatan enam di sekolah menengah harian, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan St. Michael, Ipoh.

Kedua-dua sekolah ini memiliki kemudahan P&P yang sangat baik dan ramai alumni sekolah-sekolah ini cemerlang dalam karier masing-masing.

Sayugia diingatkan, tidak semua pelajar mampu kekal bersekolah di SBP kerana mereka perlu menyesuaikan diri dengan menguruskan diri masing-masing.

Malah, setiap individu pelajar memiliki kehendak belajar tersendiri. Seeloknya, para ibu bapa tidak memaksa anak-anak mereka ke SBP kerana sekolah-sekolah harian juga memiliki ekosistem yang sangat baik untuk P&P.

Ramai dalam kalangan pelajar luar bandar dan pedalaman yang bersekolah di sekolah menengah harian setanding dengan para pelajar SBP.

Buktinya, ada di antara mereka berjaya mendapat tempat di universiti-universiti ternama di dunia seperti Universiti Harvard, Universiti Oxford dan Universiti Cambridge.

Misalnya, ketika anak saya belajar di peringkat A-level di Kolej Yayasan UEM, Lembah Beringin, ramai rakan-rakannya merupakan bekas pelajar sekolah harian dan mereka ini berjaya diterima masuk ke universiti-universiti ternama di dunia.

Jadi, ini menunjukkan bahawa tidak kiralah di mana pun seseorang pelajar itu bersekolah, apa yang penting kekuatan dan ketabahan individu itu sendiri serta sokongan daripada semua pihak terutamanya ibu bapa dan guru serta ekosistem P&P yang bagus akan memacu kemajuan akademik para pelajar.

Jadi, usahlah bersedih jika tidak berjaya memasuki dan bersekolah di SBP kerana masa depan para pelajar bukanlah bergantung pada kecemerlangan sesebuah sekolah semata-mata tetapi juga usaha berterusan tanpa kenal erti putus asa untuk terus berjaya pada masa hadapan. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Rohami Shafie ialah pensyarah di Pusat Pengajian Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×