3 juta pekerja dijangka terkesan peralihan AI

3 juta pekerja dijangka terkesan peralihan AI

EDWARD LING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hampir tiga juta pekerja di negara ini dijangka terkesan akibat peralihan pesat ke arah penggunaan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan agenda ekonomi hijau dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Menurut Kajian Impak AI, Pendigitalan dan Ekonomi Hijau terhadap Tenaga Kerja Malaysia yang dilaksa­nakan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), dianggarkan kira-kira 685,000 pekerja akan meng­alami gangguan tahap tinggi, melibatkan 18 sektor utama pekerjaan.

Ia melibatkan jumlah keseluruhan lebih 5.6 juta tenaga kerja, sekali gus mencerminkan perubahan besar terhadap landskap pekerjaan negara.

Bagaimanapun, kajian ber­kenaan menegaskan bahawa impak yang bakal berlaku bukan sekadar kehilangan pekerjaan, sebaliknya melibatkan perubahan ketara terhadap peranan, kemahiran dan kaedah kerja, selari dengan kemajuan teknologi dan keperluan kelestarian.

Antara peranan sedia ada yang dikenal pasti berisiko tinggi terkesan ialah pekerja sokongan pentadbiran dan khid­mat pelanggan susulan penggunaan automasi proses, chatbot serta AI generatif.

Ini termasuk operator pengeluaran dan juruteknik tradi­sional dalam sektor pembuatan akibat penggunaan automasi pintar dan sistem bersepadu.

Selain itu, turut terjejas pe­ranan kandungan dan editorial dalam sektor komunikasi dan multimedia yang semakin dipengaruhi teknologi AI dalam penjanaan kandungan dan analitik.

Pada masa sama, pekerja logistik, gudang dan operasi manual turut berdepan perubahan ketara berikutan penggunaan AI bagi peng­optimuman laluan, robotik serta automasi rantaian bekalan.

Manakala peranan teknikal konvensional dalam sektor tenaga dan pengangkutan perlu beralih kepada kemahiran berkaitan teknologi hijau dan digital.

Dalam pada itu, kajian tersebut turut mengenal pasti peluang pekerjaan baharu dan peranan yang sedang muncul, selari dengan keperluan ekonomi masa hadapan.

Antaranya melibatkan Juruanalisis Data dan Pakar AI, termasuk AI Kejuruteraan dan AI Arkitek; peranan teknologi hijau seperti Juruteknik Kenderaan Elektrik (EV) serta pakar kelestarian dan kecekapan tenaga.

Turut dikenal pasti ialah peranan hibrid dalam sektor perkhidmatan seperti Pakar Teknologi dan Inovasi dalam hospitaliti dan Experience Curator dalam pelancongan, selain peranan digital kesihatan seperti Jururawat Informatik Digital (Digital Informatics Nurse) dan Pakar Informatik Kesihatan (Health Informatics Specialist).

Bagi sektor khusus pula, permintaan dijangka meningkat terhadap AI Arkitek dalam industri minyak dan gas serta pakar automasi dalam pe­ngangkutan awam dan logistik.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Edward Ling berkata, dapatan kajian ini menegaskan keperluan mendesak untuk pelaksanaan peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) secara berskala besar.

Katanya, ia khususnya bagi pekerja dalam sektor berisiko tinggi dengan tumpuan kepada kemahiran digital teras, analitik data, literasi AI, teknologi hijau dan kemahiran rentas fungsi.

Sehubungan itu, katanya, MyMahir di bawah TalentCorp berperanan sebagai platform digital nasional yang menterjemahkan dapatan kajian kepada pelan tindakan berasaskan sektor, me­rangkumi pemetaan pekerjaan serta kemahiran kritikal.

Ini termasuk unjuran permintaan tenaga kerja serta ke­perluan latihan masa hadapan, melalui kerjasama strategik industri, institusi pendidikan dan kerajaan.

“Menerusi MyMahir Skills­Lab, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Ta­lentCorp melaksanakan program latihan berasaskan industri dengan pendekatan train-and-place yang berpacukan permintaan.

“Ia terbukti meningkatkan kebolehpasaran peserta dengan gaji permulaan antara RM3,000 hingga RM6,000, iaitu 5 hingga 15 peratus lebih tinggi berbanding purata gaji permulaan mereka yang tidak menyertai program ini.

“Sehingga 31 Disember 2025, lebih 4,000 tempat latihan melibatkan lebih 100 program khusus (niche) telah diluluskan di bawah MyMahir SkillsLab.

“Kesemuanya diperakui My­Mahir Future Skills Talent Council (FSTC) bagi memastikan keselarasan dengan keper­luan industri serta fokus kepada kemahiran masa hadapan terma­suk digital dan AI,” katanya.

Edward berkata, secara keseluruhan, kajian impak ini menjadi asas penting dalam memperkukuh strategi bakat negara selari dengan agenda Malaysia Madani, bagi memastikan tenaga kerja Malaysia kekal berdaya saing dan bersedia menghadapi ekonomi masa hadapan.

Mengulas impak penggunaan AI kepada pekerjaan, Pensyarah Kanan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM), Dr. Mohamed Tawfik Yaakub ber­kata, kerajaan perlu menyediakan insentif khas kepada pekerja atau pengusaha bagi menangani atau membantu isu kehilangan pekerjaan akibat penggunaan AI. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN