PETALING JAYA: Pengganti Pengerusi Perikatan Nasional (PN) perlu merupakan seorang pemimpin yang diterima oleh rakyat pelbagai kaum dan mempunyai rekod terbaik yang diyakini oleh rakyat.
Ketua Pemuda Kebangsaan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Justin Prabakaran berkata, Pengerusi PN merupakan teraju utama yang akan memimpin gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Kata beliau, jawatan tersebut mesti diisi oleh kepimpinan yang inklusif dan diterima oleh rakyat pelbagai kaum serta diyakini rakyat.
“Maka, ketiga-tiga sayap pemuda mencadangkan agar Muhyiddin kekal dan terus menerajui kepimpinan sebagai Pengerusi PN,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Pas sebelum ini dilaporkan sudah mengutuskan surat kepada Timbalan Pengerusi dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) PN bagi mengadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan peletakan jawatan Pengerusinya
Perkara itu dikongsikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang melalui akaun sosial medianya semalam dan memaklumkan beliau telah pun mengutuskan surat tersebut kelmarin.
Dalam pada itu, Justin berkata, beliau pada pagi ini sudah mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin bersama Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham dan Ketua Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Lee Boon Shian.
Jelasnya, pertemuan itu bagi menyampaikan pandangan dan pendirian sayap pemuda masing-masing khususnya berhubung kedudukan Pengerusi Perikatan Nasional.
“Kami menghormati keputusan Muhyiddin untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN. Walau bagaimanapun, peletakan jawatan tersebut pastinya memberi impak kepada wajah PN khususnya dalam pilihan raya umum akan datang.
“Untuk menang dalam pilihan raya, PN harus diterajui oleh figura yang boleh menjana penyatuan dan menggarap dukungan majoriti rakyat Malaysia,” katanya.
Katanya, tiga sayap parti komponen PN berpendirian ia mestilah diselesaikan secara konsensus sebagaimana yang diperuntukkan dalam Fasal 8.3(I) Perlembagaan PN
“Ketiga-tiga sayap pemuda juga berpendirian bahawa jawatan Pengerusi Perikatan Nasional mestilah diisi oleh mana-mana Presiden Parti yang mempunyai kuasa eksekutif dan autoriti bagi membuat sebarang keputusan dasar demi kelancaran pentadbiran.
“PN wajar diperkasakan dengan etika gabungan, disiplin pentadbiran serta kerjasama politik dengan parti-parti yang terlibat dalam Ikatan Prihatin Rakyat,” jelasnya. – UTUSAN










