Penyelamat bergelut cari puluhan mangsa runtuhan tapak pelupusan sampah Cebu

Penyelamat bergelut cari puluhan mangsa runtuhan tapak pelupusan sampah Cebu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CEBU: Pasukan penyelamat giat mencari puluhan individu yang masih hilang susulan kejadian tanah runtuh di sebuah tapak pelupusan sampah di tengah Filipina awal minggu ini, menurut pihak berkuasa.

Datuk Bandar, Nestor Archival berkata, tanda-tanda mangsa masih hidup dikesan di lokasi kejadian di Bandar Cebu, dua hari selepas insiden tersebut berlaku.

Setakat ini, empat kematian disahkan, manakala 12 individu lain dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Keadaan di lokasi kejadian dilaporkan mencabar apabila runtuhan yang tidak stabil menyukarkan kerja-kerja menyelamat serta membahayakan pasukan kecemasan, selain kekurangan peralatan berat yang sesuai.

Tapak pelupusan sampah milik persendirian berkeluasan kira-kira 36 ekar, Binaliw runtuh pada Khamis ketika kira-kira 110 pekerja berada di kawasan tersebut, menurut pihak berkuasa.

Dalam satu hantaran di Facebook pada pagi Sabtu, Archival memaklumkan bahawa pihak berkuasa mengesan tanda-tanda mangsa masih hidup di beberapa kawasan, sekali gus memerlukan kerja penggalian yang lebih berhati-hati serta penggunaan kren seberat 50 tan.

Ahli keluarga mangsa yang hilang menunggu dengan penuh kebimbangan sebarang maklumat mengenai keberadaan orang tersayang. Lebih 30 orang, kesemuanya pekerja di tapak pelupusan itu, dipercayai masih hilang.

“Kami berusaha secepat mungkin untuk menyelamatkan mangsa, sebab itu operasi dijalankan 24 jam,” kata Ahli Majlis Bandaraya Cebu, Dave Tumulak yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Bencana bandar itu, kepada agensi berita AFP.

Seorang wanita yang suaminya dilaporkan hilang, Jerahmey Espinoza berkata, kepada Reuters sehingga kini suaminya masih belum ditemui, namun keluarganya masih berharap beliau selamat.

Punca kejadian runtuhan masih belum dikenal pasti, namun seorang lagi Ahli Majlis Bandaraya Cebu, Joel Garganera berkata, ia dipercayai berpunca daripada amalan pengurusan sisa yang tidak teratur.

Menurut beliau, pengendali tapak menggali bahagian bukit dan menimbunkan sampah sehingga membentuk timbunan besar, yang dipercayai menyumbang kepada kejadian runtuhan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×