Kes buli libatkan pelajar sekolah di Kedah meningkat 330 peratus

Kes buli libatkan pelajar sekolah di Kedah meningkat 330 peratus

ADZLI Abu Shah (dua dari kiri) menyampaikan poster berkaitan buli kepada wakil sekolah pada Majlis Pembukaan Sesi Persekolahan 2026 Jabatan Pendidikan Kedah Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Setar, hari ini. - UTUSAN/ JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis Kedah merekodkan peningkatan sehingga 330 peratus kes buli di sekolah dengan 43 kes dilaporkan sepanjang 2025, berbanding hanya 10 kes pada tahun sebelumnya.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, daripada jumlah tersebut, 32 kes berlaku di sekolah menengah, sembilan kes di sekolah rendah, manakala dua kes lagi melibatkan sekolah persendirian.

“Bagi tempoh sama, sebanyak 31 pelaku ditangkap dengan 11 daripadanya dituduh di mahkamah. Peningkatan jumlah laporan ini tidak semestinya bermaksud peningkatan kejadian semata-mata, sebaliknya menunjukkan tahap kesedaran dalam kalangan mangsa dan masyarakat untuk tampil melaporkan perbuatan buli yang sebelum ini sering didiamkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pembukaan Sesi Persekolahan 2026 Jabatan Pendidikan Kedah Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kolej Sultan Abdul Hamid di sini hari ini.

Beliau turut menyentuh tentang kes buli di Sungai Petani pada Julai tahun lepas melibatkan dua pelajar perempuan tingkatan satu yang didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Kes ini membuktikan bahawa tindakan salah boleh memberi implikasi besar terhadap masa depan pelaku,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, isu jenayah seksual terhadap murid sekolah turut mencetuskan kebimbangan apabila sebanyak 90 kes rogol direkodkan di Kedah sepanjang 2025, melibatkan mangsa bawah umur.

“Daripada jumlah tersebut, 78 kes melibatkan murid sekolah menengah, manakala 12 kes melibatkan murid sekolah rendah. Berdasarkan siasatan Unit D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, kebanyakan kes rogol yang melibatkan murid sekolah berkait rapat dengan masalah sosial dan keruntuhan moral.

“Itu termasuk faktor pergaulan bebas tanpa pengawasan, kepercayaan yang disalahgunakan serta kecuaian dalam menjaga batas pergaulan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta pelajar agar berani bersuara dan tampil melaporkan sebarang bentuk gangguan, ugutan atau perlakuan mencurigakan kepada guru, ibu bapa atau Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) bagi membolehkan tindakan awal diambil. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×