PN perlu kemuka tawaran, wajah segar - Utusan Malaysia

PN perlu kemuka tawaran, wajah segar

SAIFUDDIN Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Pemecatan DATUK SERI SAIFUDDIN ABDULLAH daripada Bersatu mencetuskan persoalan mengenai keadilan proses disiplin parti serta hala tuju Perikatan Nasional (PN) menjelang PRU16. Ahli Parlimen Indera Mahkota itu mendakwa dinafikan hak perbicaraan yang adil selepas mengkritik kepimpinan tertinggi parti atas dasar prinsip dan kepentingan masa depan negara.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, ROSHIHAN ANNUAR YUB, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dan jurufoto, AMIR KHALID, Saifuddin mempertahankan pendiriannya bahawa Presiden Bersatu wajar berundur, dengan alasan kegagalan memimpin parti dan PN secara strategik serta ketandusan visi menghadapi cabaran semasa.
Saifuddin turut mengulas dinamika dalaman PN, hubungan antara parti komponen serta keperluan mendesak gabungan itu tampil dengan kepimpinan dan tawaran baharu, fokus terhadap penyelesaian mampan masalah ekonomi rakyat, di samping pende­katan politik yang seder­hana dan inklusif, adalah kunci untuk memu­lihkan keyakinan pengundi pada PRU16.

RAYU DALAM MASA TERDEKAT
MINGGUAN MALAYSIA: Datuk Seri memaklumkan tidak mendapat perbicaraan adil, tetapi telah dipecat daripada Bersatu. Apa yang Datuk Seri maksudkan?
Aduannya adalah saya menyerang dan mencadangkan supaya Presiden meletak jawatan dan mencemar imej Presiden dan parti. Pada 6 November 2025, saya menghadiri Sesi Perjumpaan Bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Lembaga Disiplin (LD), di mana saya mengemukakan tiga tuntutan,iaitu (1) berkaitan konflik kepentingan AJK LD, (2) tiadanya perbicaraan adil (sebab orang yang menyiasat, mendakwa dan menghukum adalah orang yang sama), dan ketiga memanggil Presiden ke sesi perjumpaan LD. Ini bagi memastikan terlaksananya prinsip keadilan.

Saya memohon diadakan sesi perjumpaan baru dan akan memberikan kerjasama penuh. Tetapi, sehingga 6 Januari lalu, tiada berita daripada LD, dan saya menerima notis dipecat. Maknanya, saya dinafikan hak mendapat perbicaraan adil. Saya akan mengemukakan rayuan dalam masa terdekat.

TIDAK TANDING BEBAS
Jika rayuan ditolak, apa perancangan dan hala tuju Datuk Seri dalam politik?
Kita masuk politik untuk berjuang untuk negara pertiwi, itu jadi keutamaan. Hendak sampai ke situ perlu ada parti, dan parti ini kebanyakannya individu, tapi dalam situasi sekarang parti individu tidak boleh menang pilihan raya, hendak bentuk kerajaan kena gabungan.

Saya pernah ditawarkan ketika keluar UMNO dulu, ada parti yang tawarkan saya pilih sahaja mana-mana kerusi dan ada jawatan ditawarkan, tapi saya tidak terima sebab pada saya perjuangan ini kerana agama dan untuk kepentingan pertiwi dan saya sendiri kena ada prinsip.

Kini pun masih ada yang tawar, tapi untuk kembali itu tidak, tapi bekerjasama boleh. Saya ambil sikap terbuka dan tidak terburu-buru, dan andainya saya bertanding (pada PRU16) pastinya bukan sebagai calon bebas.

Adakah Datuk Seri masih berpegang dengan kritikan yang dibuat terhadap Presiden parti?
Di sini ada dua perkara. Pertama, saya tidak mempersoalkan sumbangan beliau sebelum ini. Jasanya besar. Saya akan pertahankan legasinya.

Kedua, setelah berlaku masalah dan isu tertentu menjelang, semasa dan selepas Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025, maka saya berpendapat beliau telah hilang faktor-faktor yang melayakkannya memimpin parti dan negara.

Faktor-faktor itu terbahagi kepada tiga kumpulan besar, iaitu ilmu, kemahiran dan adab sebagai pemimpin. Dalam setiap kumpulan besar itu, ada sebaris faktor. Apa yang telah saya bicara secara terbuka sebelum ini baru dua-tiga faktor sahaja.

Beliau juga tidak menunjukkan komitmennya memimpin PN, contohnya dalam isu Perlis. Beliau juga tidak serius memimpin dasar-dasar besar PN menjelang PRU16 dan untuk masa depan negara. Asyik cerita zamannya sebagai PM dan berjaya menangani Covid-19. Ini semua orang tahu. Beliau masih bernostalgia. Sedangkan kita sepatutnya memerah minda untuk masa depan.

Punca yang menyebabkan Datuk Seri mendesak Presiden berundur?
Selain tempoh masa (menjelang, semasa dan selepas) PAT yang saya sebut tadi, ada kronologi yang panjang.
Ia bermula sejak Datuk Seri Hamzah Zainudin dilantik Ketua Pembangkang dengan cadangan dan sokongan Pas. Timbullah iri hati daripada pihak tertentu. Kemudian timbul fitnah kononnya Hamzah akan lawan Presiden.

Malahan pernah ada ura-ura memecat Hamzah sebagai Setiausaha Agung. Sepanjang saya mengenali Hamzah, beliau tidak pernah menyebut untuk melawan Presiden. Sebagai SUA, beliau amat banyak berkorban untuk parti.

MASALAH DALAMAN TIDAK DISELESAI
Pandangan Datuk Seri mengenai kewujudan dua kem dalam Bersatu. Adakah akan menyebabkan parti berpecah sekiranya Presiden berundur? Adakah akan menjejaskan persediaan menghadapi PRU16?
Ini persepsi yang sengaja diadakan. Hamzah tidak ada kem. Beliau ramah serta mudah berkawan. Suka menolong orang. Tiada protokol. Sesiapa sahaja boleh ke pejabatnya.

Maka, lojiklah ramai yang bertemu dan menyukainya. Parti akan berpecah kalau sokongan tulen (iaitu bukannya diugut) terbelah dua, iaitu 50-50. Hamzah dipilih Timbalan Presiden tanpa bertanding. Jadi, dari mana datangnya perpecahan?

Masalah-masalah dalaman parti dibiarkan berjalan tanpa penyelesaian untuk tempoh masa yang agak lama. Inilah masalahnya. Akhirnya barulah MPT pada 4 November 2025 dan 10 Disember 2025 membincangan hal perdamaian dan melantik Tan Sri Rais Yatim mempengerusikan jawatankuasa untuk menanganinya. Kita tengoklah.

Siapa pada pandangan Datuk Seri yang layak menjadi nakhoda Bersatu menuju PRU16?
Hamzah Zainudin. Ini kerana beliau Timbalan Presiden dan bekas SUA Bersatu, Timbalan Pengerusi PN dan Ketua Pembangkang. Prestasinya dalam ketiga-tiga peranan tersebut adalah cemerlang.

Hubungannya dengan semua parti komponen PN dan pihak-pihak luar yang berkaitan adalah baik. Beliau tidak akan meminta, tapi saya yakin beliau mampu menjadi antara pemimpin utama apabila PN membentuk kerajaan nanti.

Kelebihan beliau pengalamannya sebagai usahawan berjaya dan Pengerusi Felcra, iaitu sebelum menceburi politik. Juga pengalamannya sebagai menteri Kabinet. Masalah utama yang dihadapi rakyat sekarang ialah ekonomi. Beliau ada pengalaman dan praktikal dalam bidang ekonomi.

PN MODERAT, INKLUSIF
Apakah yang perlu dilakukan oleh PN untuk terus mendapatkan kepercayaan pengundi Melayu? Bagaimana pula dengan pengundi bukan Melayu?
Saya percaya PN masih menjadi pilihan utama pengundi Melayu. Saya terharu dengan sokongan NGO-NGO Melayu kepada PN. Mereka mewakili suara pengundi atas pagar yang amat besar.

Bagi pengundi bukan Melayu, keahliannya dalam sayap-sayap untuk mereka dalam Bersatu dan Pas semakin bertambah. Gerakan juga semakin aktif. Apabila MIC menyertai PN, ia akan banyak membantu. Apa yang paling penting adalah untuk PN berada di tengah (centre), moderat (wasatiyah) dan inklusif. Ini elemen paling penting bagi rakyat Malaysia. Ini kerana majoriti rakyat kita berada di tengah, moderat dan inklusif.

Resipi PN untuk memenangi PRU16?
Bagi majoriti rakyat, masalah terbesar yang dihadapinya kini, dan dijangkakan akan berterusan untuk beberapa tahun ke hadapan, iaitu masalah ekonomi seperti kos sara hidup, kurang pendapatan dan pengangguran. Justeru, PN mesti memfokus kepada penyelesaian masalah ekonomi rakyat.

Caranya tidak boleh dengan sekadar pemberian one-off kepada rakyat dan berjangka masa pendek. Sebaliknya, ia mesti mampan. Iaitu bukan sekadar melegakan masalahnya pada hari ini, tetapi membantu dan memfasilitasi pembinaan hidupnya ke hadapan.

Menyelesaikan masalah ini melibatkan kos. Kos memerlukan dana membiayainya. Dana perlu dicari dan dikembangkan.

Jadi, PN perlu mengemukakan pimpinan yang mampu menguruskan bab ekonomi. Iaitu yang ada pengalaman sebenar dan berjaya dalam bidang ekonomi.

Pokoknya, PN perlu mengemukakan tawaran segar dan wajah segar. Tawaran segar adalah gagasan yang bersifat semasa dan mendepani masa depan. Contohnya, Konsensus Nasional Baru. Gagasan ini telah dibahaskan, termasuk di Parlimen. Tawaran PN kena dijelaskan awal.

Tidak boleh tunggu manifesto semasa PRU. Wajah segar ialah menampilkan beberapa tokoh (bukannya seorang sahaja, kerana kita mesti praktikal) yang bakal mengetuai kerajaan. Iaitu bukan tokoh yang pernah menjadi PM. Rakyat mahu pemimpin baharu.- Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN