Politik tidak akan bebas rasuah tanpa Akta Pendanaan

Politik tidak akan bebas rasuah tanpa Akta Pendanaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem politik negara tidak akan bebas rasuah selagi tiada Akta Pendanaan Politik.

Justeru, pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Penda­naan Politik perlu dise­gerakan kerana kelewatannya menjejaskan ketelusan dan integriti politik negara.

Presiden Pemerhati Ra­suah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ketiadaan ke­rangka undang-undang khusus berhubung pembiayaan politik membuka ruang kepada ke­tirisan, penyalahgunaan sumbangan serta kekeliruan tentang sumber dana parti dan kempen pilihan raya.

Katanya, Malaysia kini terus terdedah kepada pembiayaan politik tidak telus, kepentingan korporat ke atas dasar awam dan amalan balas budi yang menjejaskan tadbir urus tanpa undang-undang khusus yang mengawal sumber, had, pelaporan dan penguatkuasaan dana politik,

“Lebih membimbangkan, ke­tiadaan RUU ini melemahkan keseluruhan ekosistem antirasuah negara apabila usaha pencegahan hanya bersifat kosmetik, manakala punca rasuah politik dibiarkan berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pembentangan RUU Penda­naan Politik sehingga kini be­lum dilaksanakan setelah bersilih ganti kerajaan walaupun pelbagai usaha dilakukan agar perkara itu dilaksanakan termasuk merujuknya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran sebelum ini berkata, kerajaan terbuka untuk mendapatkan input terlebih dahulu daripada pelbagai pihak sebelum dimuktamadkan.

Menurut Jais, RUU berke­naan juga perlu merangkumi mekanisme pengisytiharan dana, had sumbangan, audit bebas serta hukuman tegas tanpa kompromi dan perlu terpakai kepada semua parti serta calon tanpa pengecualian.

Malah beliau berkata, semua parti politik perlu wajib menye­rahkan akaun kewangan tahunan untuk diaudit oleh Jabatan Audit Negara, selain mengisytiharkan semua sumber dana termasuk dari dalam dan luar negara.

Katanya, penerimaan dana daripada sumber tidak sah, berunsur subversif, rasuah atau bertentangan dengan kedaulatan negara juga perlu dilarang, manakala kegagalan mematuhi pengisytiharan dan audit perlu diklasifikasikan sebagai kesalahan jenayah.

“Pengisytiharan dana politik juga tidak boleh bersifat sukarela dan sebarang kegagalan, pemalsuan atau penyembu­nyian maklumat pendanaan perlu dikenakan hukuman se­timpal termasuk denda, pembekuan akaun dan pendakwaan jenayah terhadap pimpinan parti yang bertanggungjawab.

“Pendaftar Pertubuhan (ROS) perlu diberikan kuasa lebih jelas untuk mengawasi aktiviti serta akaun kewangan parti politik atau undang-undang khusus digubal merangkumi pendaftaran, tadbir urus, pendanaan, pengauditan dan penguatkuasaan terhadap parti politik.

“Pembatalan pendaftaran parti politik juga perlu diperuntukkan secara jelas sebagai tindakan terakhir terhadap pelanggaran serius khususnya melibatkan pendanaan haram yang berulang atau bersifat sistemik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×